BAGAIMANA KITA MENYAMBUT RAMADHAN
>> 21 Julai 2012
Bagaimana kita menyambut Ramadhan?
Oleh
Khairol Amin (kamin@tm.net.my)
Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam.
Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini
sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadilat
yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan
kualiti keimanan dan ketaqwaan. Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai
Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan
berpuasa. Risalah kali ini akan memaparkan dua pesanan pilihan
berkenaan cara kita menyambut Ramadhan.
Pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz[1]
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu,
moga-moga kamu bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]
Di
dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada
berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan
syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah
baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara
faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui
oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang
mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di
Afrika.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa
Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan
firmannya:
Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar
dengan yang salah.
[al-Baqarah 2:185]
Di
dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada
seribu malam sebagaimana firman-Nya:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik
daripada seribu bulan.
[al-Qadr 97:1-3]
Selain itu diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa
dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah radhiallahu 'anh
berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam
bersungguh-sungguh
Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan
barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar
dengan penuh
iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya
yang telah lalu.[2]
[Shahih Muslim – hadis no: 760]
Kewajipan berpuasa (juga mengajar kita) menjaga diri daripada
perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan
mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada
melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran,
berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam
melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.
Demikian beberapa pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz berkenaan hikmah
dan keutamaan bulan Ramadhan.
Pesanan Dr Ahmad Abu Halabiah - ahli majlis tertinggi fatwa Palestine[3]
Terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan.
Adab-adab tersebut adalah:
Pertama:
Sabar ke atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita bahawa pada hari
Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka
katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa... sesungguhnya
aku sedang berpuasa.”[4]
Kedua:
Digalakkan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana
Ramadhan merupakan bulan ketaqwaan sebagai
mana firman-Nya:
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu
berpuasa
sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada
kamu moga-moga kamu bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]
Ketiga:
Menjaga diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia
adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam
bulan Ramadhan atau selain Ramadhan, akan tetapi pengharamannya
diberi penekanan yang lebih jelas dalam Ramadhan.[5]
Keempat:
Sentiasa mengingati amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan
membantu sesama Muslim menyelesaikan masalah, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia
termasuk golongan mereka.[6]
Kelima:
Dalam bulan yang mulia ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal
keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan
(tanggung-jawab) kita sebagaimana firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga
kamu dari neraka
yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu.
[al-Tahrim 66:06]
Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara
Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang
baik berikut:
-
Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.
-
Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.
-
Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.
-
Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.[7]
-
Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.
-
Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.
-
Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.
-
Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap
muslim yang lain.[8]
0 ulasan:
Catat Ulasan