DAP SUDAH MULAI FAHAM TENTANG ISLAM
>> 11 Mac 2010
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kerjasama antara Pas dan DAP membuahkan hasil yang baik apabila pemimpin parti itu mula memahami agenda perjuangan Pas serta agama Islam.
Menurutnya, Pas bertanggungjawab melaksanakan agenda dakwah memandangkan budaya negara ini tidak mendekatkan orang Islam kepada masyarakat bukan Islam.
“Di Malaysia tak ada langkah nak perkenalkan Islam kepada orang bukan Islam. Tok guru dan tok lebai kita tak fikir bagaimana nak suruh orang masuk Islam, sekarang kita sudah dekatkan Islam kepada DAP, di mana salah kami?,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Pas lebih berminat bekerjasama dengan DAP berbanding UMNO.
Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, DAP pernah bertindak keluar dari persefahaman satu ketika dahulu kerana tidak bersetuju dengan penggunaan nama Islam pada parti tersebut.
“Alhamdulillah mereka sekarang ini tidak marah. Dulu waktu kami dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), DAP paksa kami buang Islam dari Pas, kami kata tak boleh, Alhamdulillah, (sekarang) tanda mereka faham apa yang kami bawa ni bukan agama Islam yang menakutkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berkata, Kerajaan Negeri belum bercadang mengambil langkah mencatu bekalan air di negeri Kelantan berikutan keadaan kemarau, namun menasihatkan rakyat berjimat cermat.(sinarharian)
0 ulasan:
Catat Ulasan