PIBG TAK BOLEH BERSUARA - PAS SELAR MUHYIDDIN
>> 31 Mac 2010
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.
Di Parlimen semalam, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.
PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibubapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan. Malah mereka berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.
Sepatutnya, pihak Kementerian Pelajaran menjadikan mereka rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.
Mesyuarat dan Konvesyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mereka mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara disamping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah mereka.
Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, dimanakah mereka ingin membawa pandangan mereka. Tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti Politik. Jadi, apa salahnya mereka mengunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan.
Pandangan Muhyiddin ini jelas menunjukan Kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga. Mereka hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik. Walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik. Kalau orang politik sekalipun, bila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikan. Ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG.
PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan Kerajaan BN pada rakyat.
PAS menawarkan kepada semua PIBG dinegara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka. PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang DUN. Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.
PAS yakin rakyat akan memilih Kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihanraya akan datang dan Pakatan bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat.
0 ulasan:
Catat Ulasan