HIMPUN : PAS AKAN BUAT PENDIRIAN SABTU INI
>> 17 Oktober 2011
KUALA LUMPUR, 18 Okt – PAS akan membuat pendirian rasmi sama ada 
menyertai atau tidak Himpunan Sejuta Umat di Shah Alam, Sabtu ini yang 
diadakan, antara lain untuk menyatukan umat Islam dalam satu saf bagi 
menegaskan pendirian mempertahankan akidah Islam dengan memfokus isu 
mencegah murtad.
Penganjur sebelum ini berkata ia akan merupakan “permuafakatan akbar”
 seluruh umat Islam tanpa mengira aliran mahupun kepentingan agar 
bersatu mempertahankan akidah.
Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berkata, PAS pusat akan 
mengadakan mesyuarat khas malam esok untuk membuat pendirian sama ada 
menyertai himpunan itu ataupun sebaliknya.
“Setakat ini PAS Selangor belum membuat pendirian sama ada menyertai 
ataupun tidak, kami akan mengumumkan pendirian (kemungkinan Rabu ini) 
sebaik sahaja PAS pusat mengambil pendirian pada mesyuarat khas yang 
diadakan esok,” kata Dr Rani ketika dihubungi The Malaysian Insider hari
 ini.
Kata beliau, buat masa sekarang tidak timbul soal PAS Selangor keluar
 daripada perhimpunan itu sebab “kami belum masuk lagi, tetapi ini 
bergantung pada hasil mesyuarat esok.”
“Pendirian kami masih statik... belum masuk (menyertai perhimpunan), 
jadi tak timbul isu PAS mengambil pendirian keluar,” kata beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Meru ini berkata mesyuarat esok, 
yang akan dihadiri beberapa pemimpin kanan parti, akan mengambil 
pendirian dengan melihat matlamat penganjuran perhimpunan.
Katanya, PAS tidak mahu satu perhimpunan diadakan untuk memecahbelahkan keharmonian kaum dan mencetuskan kacau-bilau.
“PAS Selangor mahu mematuhi titah Sultan Selangor (baru-baru ini) 
yang menggesa agar keharmonian kaum dipertahankan dan dijaga,” kata Dr 
Rani sambil menambah bahawa “ada pihak-pihak tertentu dalam masyarakat 
mahu melaga-lagakan persefahaman yang wujud antara masyarakat Islam dan 
kaum bukan Muslim di negara ini.”(malaysianinsdier)
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan