SAYA RELA DITANGKAP DARIPADA SERAH DIRI - BOB LOKMAN
>> 13 Oktober 2011
KUALA
LUMPUR, 13 Okt — Penulis lirik, pelakon dan pengacara terkenal, Bob
Lokman hari ini menegaskan beliau tidak akan “menyerah kalah” dengan
hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi
keterangan, sebaliknya “lebih rela ditangkap” selepas ditahan Isnin lalu
kerana memberi kuliah agama tanpa tauliah.
Bob Lokman atau nama sebenarnya Muhamad Hakim Lokman memberitahu
bahawa beliau tidak akan pergi ke pejabat Jais atas alasan agensi agama
itu tidak melaksanakan dasar Islam secara keseluruhan, tetapi lebih
memihak kepad dasar pemerintahan Umno-BN.
“Kalau nak tangkap saya, tangkaplah, nak heret sekalipun, tapi saya
tak kan pergi menyerah kepada mereka,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Laporan media hari ini menyebut Jais akan mendapatkan perintah waran
tangkap daripada mahkamah terhadapnya seandainya enggan hadir memberi
keterangan kepada agensi itu.
Pengarah Jais Marzuki Hussin berkata, selebriti yang berusia 47 tahun
itu juga melakukan kesalahan lain jika enggan mematuhi perintah hadir
terhadapnya.
“Sepatutnya pagi tadi (semalam), dia hadir ke pejabat Jais, tetapi dia gagal berbuat demikian.
“Dia (Bob Lokman) berdegil datang, Jais akan memohon waran tangkap,” katanya.
Bob Lokman ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam
(Negeri Selangor) 2003 iaitu ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui,
Hulu Langat.
Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
menyebut “mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara
mengenai agama Islam tanpa tauliah diberikan mengikut Seksyen 118 adalah
melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara
tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.”
Disebabkan enggan hadir memberi keterangan dengan sengaja pula,
selebriti itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah
Syariah Selangor.”
Jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 12B Enakmen Jenayah
Syariah Selangor itu, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara
tidak lebih dua tahun.
Pada 19 Februari lalu, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman menyerahkan borang menjadi ahli PAS.
Bob Lokman menambah, dengan pergi ke pejabat Jais, perjuangan agama
yang dipegangnya selama ini seakan hancur kerana jabatan itu sendiri
tidak melaksanakan syiar Islam dengan telus.
“Ini soal akidah, prinsip dan kepercayaan, saya yakin dengan
perjuangan saya, Bilal Bin Rabbah sendiri menerima tentangan hebat waktu
diseksa kerana Islam,” kata beliau.
Beliau ditahan Jais selepas menceritakan pengalamannya menerima hidayah Islam di Hulu Langat awal minggu ini.
“Saya yakin kepada agama, kepada al-Quran, sekiranya saya tidak
menentang, mereka tidak akan tahu wujudnya ketidakadilan dalam
pentadbiran mereka, sekiranya orang PAS sendiri tidak tidak bersetuju,
tak apa... saya yakin dengan kepercayaan saya,” tegasnya.
Menurut Bob Lokman lagi, dia yakin penguasa Jais dan kadi yang
menahannya pada malam itu datang sebagai ‘wakil’ Umno, yang cuba
menghalang usaha dakwah dilakukannya demi kepentingan politik.
“Saya bukan nak masuk politik, (atau) jadi wakil rakyat, saya nak
bantu orang-orang Islam negara kita ini, mengaku kenal Allah, kenal
Islam, tapi sebenarnya Islam pada nama, pada Melayu sahaja,” katanya
lagi.
“Mungkin ada pihak yang kurang senang dengan kehadiran saya di sana
kerana menganggap saya menggugat mereka, tapi saya hanya bercerita soal
akidah, berdakwah di jalan Allah, saya juga menolak sikap kadi Hulu
Langat yang tidak profesional, yang lebih pentingkan diri daripada
membantu mengembalikan akidah dan iman umat Islam di landasan yang
betul,” katanya lagi.(malaysianinsider)
0 ulasan:
Catat Ulasan