ORANG AGAMA JANGAN 'BANTAI' SAJA ARTIS - ZED ZAIDI
>> 01 Oktober 2011
Menurut beliau, dengan adanya pertemuan seperti itu, golongan artis 
akan lebih terbimbing dengan baik bagi membolehkan mereka menghasilkan 
filem-filem lebih bermutu pada masa akan datang.
"Pada saya, langkah yang diambil oleh golongan agama tidak kira sama 
ada dari PAS dan pertubuhan-pertubuhan lain untuk mendekati artis 
sememangnya dialu-alukan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari 
ini.
Dengan adanya langkah seperti itu, katanya, ternyata golongan agama 
bukan sekadar hanya tahu 'membantai' golongan artis, tetapi turut sama 
berperanan menyelesaikan masalah yang berlaku berhubung pembikinan dan 
penerbitan sesebuah filem serta kehidupan golongan artis.
Pengarah Ahmad Idham baru-baru ini diselubungi masalah apabila filem 
terbaru arahannya, Hantu Bonceng mencetuskan kontroversi disebabkan 
beberapa adegan di dalamnya didapati menghina Islam.
Dewan Pemuda PAS Malaysia menerusi Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika 
membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal 
yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan 
Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga 
membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.
20 September lalu, Dewan Pemuda PAS melanjutkan lagi tegurannya 
kepada pihak penerbit, pengarah dan pelakon filem itu agar menyedari 
kesalahan tersebut dan mendesak agar penayangan filem itu dihentikan dan
 jika mahu ditayangkan juga, sekurang-kurang babak mengucap syahadah 
secara salah itu mesti dipotong untuk tayangan berikutnya.
Bagaimanapun, teguran itu tidak dipedulikan oleh Ahmad Idham, malah 
beliau dilaporkan menjawabnya dengan nada dan ayat-ayat yang tidak 
sewajarnya.
Tindakan beliau memaksa Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat keputusan 
untuk mengadakan pertemuan khas dengan pengarah tersebut bagi 
menjelaskan maksud sebenar teguran itu demi kepentingan Islam, para 
penonton filem itu dan orang ramai di segenap peringkat pada 26 
September lalu.
Pertemuan tersebut diadakan di pejabat Ahmad Idham dan melibatkan 
Nasrudin bersama beberapa kepimpinan Pemuda PAS Pusat lain serta 
menghasilkan natijah yang cukup baik.
Menurut Zed, beliau yakin pertemuan seperti itu tidak sia-sia, tetapi
 pasti terdapat hasil yang baik yang turut membantu Ahmad Idham 
menyelesaikan masalah yang dialaminya sekarang dan menghasilkan filem 
yang lebih baik selepas ini.
Beliau yang juga Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Seniman 
Malaysia (Seniman) berkata, golongan artis sememangnya golongan yang 
berpengaruh dalam masyarakat dan perlu menjalani kehidupan yang baik 
seperti yang dituntut dalam Islam.
"Jadi golongan artis memang amat perlu didekati oleh golongan agama. 
Golongan artis perlu dibimbing supaya dapat memainkan peranan yang baik 
untuk masyarakat.
"Sekiranya golongan artis melakukan kesalahan, mereka perlu ditegur 
dengan baik, bukan dengan cara mengutuk dan membantai mereka seperti 
yang dilakukan oleh sesetengah pihak," katanya.(harakahdaily)
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan