APA MAKSUD NAJIB PRU13 YANG LUAR BIASA....?
>> 30 November 2011
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP
Malaysia) merasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak supaya jentera Umno bersiap sedia menghadapi Pilihan
raya Umum ke-13 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dengan tindakan
‘luar biasa’.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPP Malaysia menganggap
kenyataan Datuk Seri Najib sebagai bahaya kerana boleh disalah tafsir
oleh pelbagai pihak, memandangkan beliau adalah Perdana Menteri dan
mempunyai kuasa di negara ini.
“DPP Malaysia hairan, bagaimana ungkapan sedemikian boleh keluar dari
mulut Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, walaupun ia diucapkan terhadap jentera dalaman Umno,
namun ia sudah menjadi berita yang semua rakyat membaca dengan pelbagai
persepsi.
Bagi sesetengah pihak, ujarnya ucapan Najib boleh memberi makna akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap rakyat dan negara.
Justeru, katanya DPP Malaysia mempersoalkan, apakah PM sudah
meramalkan sesuatu yang luar dari kebiasaan akan berlaku dalam PRU ke 13
kali ini.
“Mungkinkah akan berlaku insiden-insiden buruk dalam PRU ke 13 nanti?” tanya beliau lagi.
Bagi DPP Malaysia, ujarnya ucapan itu tidak sepatutnya keluar dari
mulut Perdana Menteri, seakan-akan mengejutkan serta memakutkan rakyat.
Sepatutnya, beliau berkata Najib menenangkan rakyat dengan jaminan
PRU ke 13 adalah PRU yang terbaik, paling aman, serta berlangsung dalam
suasana penuh demokrasi.
Untuk itu, tambahnya DPP Malaysia telah sedia mempersiapkan jentera
pemuda PAS diseluruh peringkat juga dengan persiapan ‘luar biasa’.
“Kali ini seluruh jentera pemuda PAS diingatkan supaya bersedia
menghadapi apa juga serangan yang bakal dilakukan oleh Umno BN dalam
pelbagai bentuk,” ujarnya.
Menurutnya, sudah 12 kali PRU dihadapi, dan sudah acap kali juga
serangan bertali arus dikenakan terhadap jentera PAS khususnya pemuda
PAS di seluruh negara.
Malah, ujarnya pemuda PAS pernah dipukul seperti di Pilihan Raya Kecil Ijok, Bagan Pinang dan lain-lain lagi.
Tambahan pula, katanya PRU ke 13 nanti akan berlangsung dalam suasana
sistem pilihan raya yang masih tempang dan pincang dan dalam keadaan
demokrasi yang kontang dari kebenaran.
Justeru, katanya tidak hairanlah jika berlaku sekali lagi manipulasi
undi, undi pos yang meningkat mendadak, pengundi hantu yang kembali
turun mengundi, beli undi, rasuah pilihanraya, rakyat negara asing yang
turun mengundi, fitnah melalui media, akses media yang berat sebelah dan
lain-lain lagi.
“Semua insiden ini pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi nanti.
“Insya Allah, DPP Malaysia telah mempersiapkan mental kesemua petugas
dengan kesemua kemungkinan sesuatu yang ‘luar biasa’ yang akan
berlaku,” katanya lagi.
Beliau menambah, PRU 13 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan yang sudah tamat tempoh.
“Selamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup, rasuah dan mementingkan diri sendiri,” katanya.(harakahdaily)
0 ulasan:
Catat Ulasan