BERITA NGERI BUAT UMNO/BN
>> 17 November 2011
KUALA LUMPUR, 17 Nov ― Majoriti pengundi kalangan kaum Melayu tidak
yakin Barisan Nasional (BN) boleh merampas balik kuasa kerajaan negeri
Pulau Pinang daripada Pakatan Rakyat ketika spekulasi menyebut pilihan
raya umum akan dipanggil waktu terdekat.
Kajian kendalian Ilham Centre berkaitan persepsi dan tanggapan orang
Melayu menunjukkan keadaan itu disebabkan perpecahan dalaman Gerakan dan
ketiadaan Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang melepaskan jawatan perdana
menteri dua tahun lalu, dalam kepimpinan Umno pusat telah menggelapkan
harapan BN untuk kembali memerintah Pulau Pinang.
Kajian itu dijalankan awal bulan lalu dengan memfokus 720 responden
dari dua kerusi Parlimen dan satu kawasan Dewan Undangan Negeri - yang
kesemuanya berada dalam tangan Umno-BN. Salah satu kerusi Parlimen
melibatkan Kepala Batas yang penyandangnya ialah Abdullah sendiri.
Pagi tadi Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang turut
mengetuai BN Pulau Pinang mengumumkan tidak akan bertanding pilihan raya
umum ke-13. Beliau tewas pada pilihan raya umum 2008.
Berhubung soal sama ada BN akan memerintah semula kerajaan negeri
Pulau Pinang hanya 18.6 peratus yakin manakala 16.4 peratus mengatakan
tidak. Pun begitu responden yang mengatakan tidak pasti adalah dalam
lingkungan 60.8 peratus.
Berhubung soalan sama ada Pakatan Rakyat akan kekal memerintah negeri
itu, 25.3 peratus bersetuju berbanding 17.8 peratus mengatakan tidak.
Sekali lagi bilangan mereka yang tidak pasti agak tinggi iaitu 56.7
peratus.
Daripada 720 respoden yang ditemui itu, seramai 57 peratus merupakan
pengundi dikategorikan sebagai mereka atas pagar manakala 43 peratus
lagi kalangan ahli Umno.
Bagamanapun menurut hasil kajian itu, pengundi Melayu mengharapkan
agar nasib mereka dibela dan lebih mendekati mereka dan prihatin atas
segala masalah mereka.
Pengundi-pengundi Melayu juga mahukan bantuan secara terus kerana
mereka tidak suka kepada persaingan, kata hasil kajian itu sambil
menambah, “jika boleh, salurkan bantuan secara terus, bukan
berlumba-lumba dengan kaum lain.”
“(Mereka) mahukan bantuan ‘one-off’ dalam bentuk tunai dan keperluan
harian kerana itu lebih menyebabkan mereka yakin kepada kepimpinan
kerajaan negeri.
“Mahukan agar kerajaan negeri tidak bersikap ‘bias’ dan mengamalkan
diskriminasi dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan,” katanya lagi.
Selain itu, pengundi-pengundi Melayu mahukan tokoh atau calon yang
boleh duduk bersembang, turun ke bawah ‘down to earth’ dan boleh sedia
mendengar segala keluhan dan masalah mereka.
Hasil kajian Ilham Centre ini juga menunjukkan bahawa Umno Pulau Pinang dilihat didominasi oleh Melayu “berketurunan mamak.”
“Oleh itu, pengundi Melayu agak skeptikal dengan kelompok ini. Namun
begitu, orang Melayu masih lagi melihat dan meyakini bahawa Umno adalah
harapan dan pilihan terbaik bagi mereka untuk terus membela nasib dan
masa depan orang Melayu Pulau Pinang,” katanya lagi.
Di samping itu, Umno yang memiliki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri,
yang kesemuanya dimenangi tiga tahun lalu, tidak mempunyai tokoh yang
dikatakan berkaliber dan berdedikasi setelah kemasukan Datuk Seri Anwar
Ibrahim ke dalam PKR dan Pakatan Rakyat dan peletakan jawatan Abdullah
sebagai Perdana Menteri.
Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh, dipecat dari Umno pada September 1998 dan kemudian menubuhkan PKR.
“Namun rakyat masih lagi bergantung harap dengan Umno,” katanya lagi.
Ilham Centre juga berkata orang Melayu di kawasan kajian tidak
mengetahui segala dasar baru kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.
“Mereka lebih cenderung kepada segala manfaat yang mereka akan terima
secara ‘one-off’ sama ada dalam bentuk bantuan kebajikan dan
barang-barang keperluan harian seperti; beras, gula, tepung, telur dan
wang tunai kerana ia lebih dirasai berbanding dengan pengumuman program
dan rancangan pembangunan yang bernilai jutaan ringgit,” katanya lagi.(malaysianinsider)
1 ulasan:
yang duk bergantung harap lagi dgn UMNO tu kroni dan pencacai ja..yang lain dah meluat dah gan UMNO!!
Catat Ulasan