BUKAN ISLAM TERIMA PAS BERBEZA 5 TAHUN LEPAS - TIMBALAN PRESIDEN PAS
>> 12 November 2011
GOMBAK, 12 Nov: Sikap orang bukan Islam terhadap PAS
kini ternyata amat jauh berbeza berbanding 5 tahun lalu sehingga
menjadikan parti itu tidak lagi dianggap musuh oleh mereka.
Perkembangan tersebut ternyata memberikan gambaran yang amat baik
terhadap PAS sehingga lebih memudahkan para pemimpin dan ahli-ahli parti
itu mendekati golongan bukan Islam di tanah air.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, kejayaan tersebut
dicapai oleh PAS hasil penglibatan dan kesabaran semua pendokong parti
dalam perjuangan untuk mendaulatkan Islam di bumi bumi ini.
Menurut beliau, kejayaan itu juga dicapai berkat
pendekatan-pendekatan yang tepat yang diambil oleh para pemimpin dan
ahli-ahli PAS dalam perjuangannya selaras dengan kehendak Islam.
Katanya, realiti itu lebih terserlah dengan pendekatan "Tahaluf
Siyasi" yang diambil oleh PAS terutama dengan DAP dan PKR sehingga
menyebabkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS turut dijadikan rakan oleh
orang bukan Islam.
"Ini ditambah pula dengan konsep Negara Berkebajikan yang
diperkenalkan oleh PAS sehingga menyebabkan orang-orang bukan Islam
turut berminat untuk mengetahuinya dengan lebih jauh," katanya ketika
berucap di majlis penutup Multaqa Pendakwah PAS di Dewan Datuk Fadzil
Mohd Noor di KUIZM di Taman Melewar, di sini, hari ini.
Dalam ruang kejayaan yang semakin terbuka seperti sekarang, menurut
beliau, ahli-ahli PAS perlu mempertingkatkan lagi usaha masing-masing
untuk menyampaikan mesej Islam kepada seluruh rakyat negara ini.
Dalam hubungan ini, beiau menasihatkan setiap ahli-ahli PAS agar
berdakwah dengan pendekatan yang tepat agar dakwah yang disampaikan itu
memberikan kesan baik kepada golongan sasarnya.
"Selain menguasai ilmu syariat, kita juga perlu menguasai ilmu mantik
dan corak penerangan yang baik ketika mendekati pihak terbabit seperti
yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Ketika mendekati golongan yang minum arak atau gemar melakukan
maksiat walaupun beragama Islam, katanya, ahli-ahli PAS perlu
menggunakan pendekatan yang berbeza ketika berceramah dan menyampaikan
tazkirah di dalam masjid.
Tambah beliau, sewaktu mendekati golongan bukan Islam pula contohnya,
ahli-ahli PAS perlu menggunakan pendekatan lain selaras dengan tuntutan
Islam, dengan tidak mengenengahkan perkara-perkara yang tidak difahami
oleh mereka malah boleh menimbulkan salah faham dan ketakutan mereka
terhadap Islam.
"Sekiranya pendekatan-pendekatan yang diambil itu tepat, mesej dakwah
yang disampaikan pasti akan memberikan kesan baik, lebih-lebih dalam
suasana sekarang yang lebih memihak kepada perjuangan Islam," katanya.
Suasana yang memberangsangkan itu, tambahnya, antara lain boleh
dirujuk kepada perkembangan dunia masa kini yang menyaksikan masyarakat
di Barat semakin rosak akibat sistemnya yang tidak betul.
Manakala di negara-negara sosialis pula termasuk Sosialis Cina kini
sedang dilakukan perubahan agar sistem yang diketengahkan oleh mereka
itu dapat diterima dengan baik oleh rakyatnya," tegasnya.
Beliau menegaskan, perkembangan itu juga tidak terkecuali di tanah
air dan jika berjaya ditangani dengan baik oleh ahli-ahli PAS pasti akan
lebih memudahkan parti itu melangkah ke Putrajaya bersama Pakatan
Rakyat pada PRU Ke-13 nanti.(harakahdaily)
0 ulasan:
Catat Ulasan