BERKORBAN UNTUK TEGAKKKAN ISLAM
>> 06 November 2011
KUALA LUMPUR, 6 Nov: Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. seharusnya diambil iktibar oleh para pejuang Islam khususnya pendukung PAS.
Justeru, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib tidak lupa
mengucapkan tahniah kepada para tetamu Allah di bumi Makkah yang
menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. untuk melakukan ibadat haji.
“Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam
melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah,” ujarnya dalam perutusan
sempena Idul Adha 1432H.
Katanya, arahan itu yang mungkin dianggap tidak logik untuk
dilaksanakan agar baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail dilakukan
dengan penuh pasrah dan ketaatan.
Menurutnya, walaupun Nabi Ismail adalah anak tunggal yang sangat
dikasihi melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar, baginda mendahulukan
Allah lebih daripada segala-galanya.
Tambahan lagi, persediaan Nabi Ismail untuk disembelih atas arahan Allah SWT untuk dilaksanakan oleh ayahnya terhadapnya.
Begitu juga, katanya persediaan Siti Hajar untuk tinggal di lembah
Mekkah bersama anaknya Ismail di Mekkah yang tidak ada penduduk dan
makanan.
“Ini juga adalah kerana mengikut perintah Allah SWT,” ujarnya lagi.
Berikut adalah perutusan Idul Adha beliau.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.
Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha 1432H, saya mewakili Dewan
Ulamak PAS mengucapkan selamat menyambut hari raya kepada seluruh umat
Islam khususnya para penyokong dan pendukung PAS sejak dahulu hingga
sekarang. Tidak lupa juga ucapan tahniah saya kepada para tetamu Allah
di bumi Makkah yang menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. untuk melakukan
ibadat haji.
Ibadat haji mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam
melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Arahan yang mungkin
dianggap tidak logik untuk dilaksanakan agar baginda menyembelih anaknya
Nabi Ismail dilakukan dengan penuh pasrah dan ketaatan. Walaupun Nabi
Ismail adalah anak tunggal yang sangat dikasihi melalui perkahwinannya
dengan Siti Hajar, baginda mendahulukan Allah lebih daripada
segala-galanya.
Tambahan lagi, persediaan Nabi Ismail untuk disembelih atas arahan
Allah SWT untuk dilaksanakan oleh ayahnya terhadapnya. Begitu juga,
persediaan Siti Hajar untuk tinggal di lembah Mekkah bersama anaknya
Ismail di Mekkah yang tidak ada penduduk dan makanan. Ini juga adalah
kerana mengikut perintah Allah SWT.
Sebagai hamba Allah, arahan dan ketetapan yang diberikan hendaklah
dipikul dengan sebaik-baiknya. Tidak ada pilihan bagi hambanya yang
mengaku beriman untuk mengingkari segala perintah yang ditetapkan
khususnya yang terdapat dalam Al-Quran dan apa yang disampaikan oleh
utusanNya Nabi Muhammad s.a.w.
Seorang muslim tidak boleh untuk memilih melaksanakan sebahagian
daripada perintah dan meninggalkan sebahagian yang lain. Perintah untuk
melaksanakan hukuman hudud sebagai contoh seharusnya ditaati
sebagaimana perintah ibadat haji ke atas umat Islam. Perintah untuk
melaksanakan hukuman qisas seharusnya dipikul sebagaimana perintah
melakukan ibadat puasa ke atas orang yang beriman.
Walaupun hukuman ini pada pandangan sesetengah orang dilihat terlalu
keras dan tidak sesuai dilaksanakan di zaman moden ini, sebagai seorang
muslim yang mengambil pengajaran di sebalik peristiwa pengorbanan Nabi
Ibrahim tidak akan meninggalkan arahan tersebut dengan
sewenang-wenangnya. Usaha harus dilakukan untuk mencari jalan ke arah
perlaksanaannya dan bukan alasan yang diberikan untuk mengelak
daripadanya.
Pengorbanan Nabi Ibrahim ini juga seharusnya diambil iktibar oleh
para pejuang Islam khususnya pendukung PAS. Harta, keluarga, masa dan
kehidupan ini adalah pinjaman daripada Allah yang tidak seharusnya
menjadi penghalang kepada usaha menegakkan agamaNya. Pengorbanan sangat
dituntut sebagai bukti perhambaan kita kepada Allah. Pengorbanan
bagaikan bahan api untuk menggerakkan kenderaan jamaah ini. Tanpanya,
kenderaan ini hanya akan menjadi hiasan dan disimpan di dalam garaj.
Buat akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil
Adha kepada seluruh umat Islam dan selamat menunaikan ibadat haji kepada
seluruh tetamu Allah di bumi Makkah. Moga Ibadat kalian diterima dan
mendapat haji yang mabrur.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd.(harakahdaily)
0 ulasan:
Catat Ulasan