AUKU PERLU DIMANSUHKAN SEGERA - DR. AZIZ BARI
>> 11 November 2011
PETALING JAYA: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
1971, perlu segera dimansuhkan kerana ia dapat melahirkan generasi
pelajar yang lebih berani dan bertanggungjawab pada masa hadapan, kata
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Abdul Aziz
Bari.
Aziz berkata kerajaan perlu segera memansuhkan akta berkenaan kerana
mahasiswa pada hari ini wajar diberi ruang untuk melihat arena politik
semasa kerana ia dapat mengembangkan pemikiran mereka apabila keluar
dari universiti kelak.
"Pelajar hari ini perlu diberi ruang untuk libatkan diri mereka
dengan politik supaya dapat lahir generasi yang berfikiran terbuka
mindanya sekali gus dapat memajukan negara pada masa hadapan," katanya
ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata AUKU boleh
dipinda atau dihapuskan sekiranya mahasiswa memberikan sepenuh perhatian
terhadap pelajaran tanpa 'digagahi' oleh pihak lain.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata kerajaan memperkenalkan AUKU pada
1971 disebabkan oleh beberapa insiden, dan pengenalan akta itu ialah
supaya pelajar dapat menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran di
universiti serta kolej dan tidak 'diganggu' dengan kegiatan luar.
Mengulas lanjut, Aziz berkata penguatkuasaan AUKU akan hanya melahirkan generasi yang berfikiran sempit.
"Negara kita tidak akan maju dengan generasi seperti ini, mereka
menjadi jumud dan mengamalkan pemikiran sempit dan ia tidak akan memberi
sebarang manfaat kepada negara.
"AUKU hanya melahirkan golongan berfikiran tidak matang dalam menangani cabaran pada masa hadapan," ujarnya.
Justeru, beliau berkata institusi pengajian tinggi perlu menjadi
tempat yang mampu membentuk mahasiswa menjadi pemimpin yang boeh
dicontohi generasi akan datang.
"Universiti patut jadi tempat yang dapat menghasilkan golongan
intelektual yang mampu memajukan negara. Tapi hari ini, universiti kita
telah mengeluarkan ramai pelajar yang kurang berkualiti serta tidak
mempunyai sifat kepimpinan," katanya.
Mahkamah Rayuan, pada 31 Oktober lalu, memutuskan Seksyen 15(5)(a)
AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau
bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah
tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.(mstaronline)
0 ulasan:
Catat Ulasan