UMNO YANG ANCAM KEPENTINGAN MELAYU, BUKANNYA DAP - LGE
>> 27 November 2011
KUALA LUMPUR, 27 Nov — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan
parti itu tidak pernah menjadi ancaman kepada kepentingan orang Melayu,
sebaliknya hanya Umno, yang merupakan komponen teras Barisan Nasional
(BN) mempamerkan sifat-sifat sedemikian.
Sehubungan itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini, Umno bukan sahaja
menjadi ancaman kepada orang Melayu tetapi juga kepada rakyat Malaysia
dengan sikapnya yang menggunakan dan mempertahankan pelanggaran hak
asasi manusia, rasuah dan salah guna kuasa.
“Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan
mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah
mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit,” kata beliau
dalam satu kenyataan hari ini.
Lim (gambar)
berkata selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan
menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi
pengancam kepada hak dan kepentingan mereka.
“Ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan
tentera semuanya dikawal Melayu. Manakala sektor-sektor kritikal dalam
ekonomi seperti insurans, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan
lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau
syarikat-syarikat Melayu,” katanya.
Dalam kenyataannya, Lim menambah, tindakan Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno mempertahankan
agenda perkauman partinya dan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan
rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1 Malaysia adalah slogan
kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas
pilihan raya umum ke-13.
“Yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya
untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau
tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.
“Malah Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa
pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis
walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian
parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan
Kadazan.
“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah
dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib
seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” katanya
lagi.(malaysianinsider)
0 ulasan:
Catat Ulasan