RAMADHAN : TIADA REHAT UNTUK MB PERAK
>> 21 September 2008
IPOH: Marhaban Ya Ramadhan, bulan barakah ini jelas tidak memberi kesempatan langsung pada Menteri Besar Perak Darul Ridzuan untuk menikmati juadah berbuka bersama-sama keluarga. Setakat ini beliau hanya berkesempatan sekali sahaja berbuka puasa bersama isteri dan anak-anak yang dikasihi.
Ramadhan ini benar-benar menguji ketahanan fizikal Dato Seri Ir Hji Mohammad Nizar Jamaludin. Seharian suntuk di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan melayani kunjungan rakyat yang tidak pernah putus membawa hajat untuk menemui beliau, manakala memasuki waktu berbuka beliau ke serata pelusuk di negeri ini atas jemputan yang diterimanya.
Pergerakan beliau bermula seawal subuh lagi. Beliau ke masjid atau surau yang diaturkan oleh para pegawainya untuk menyampaikan kuliah-kuliah subuh. Jam 8.00 pagi beliau terus ke pejabat atau ke lokasi yang ditetapkan pula, manakala tengah hari menunaikan fardhu Zohor bersama-sama kakitangan kerajaan di bangunan berkenaan, di samping mendengar tazkirah atau beliau sendiri menyampaikannya.
Waktu ternyata mencemburui dan menghambat Nizar, suntuk dan tidak mencukupi. Hasrat murninya untuk meningkatkan syiar Islam ternyata turut melimpah pada seluruh kakitangan dan pegawai di Bangunan SUK itu. Beliau sendiri memulakan tazkirah jam 8.15 pagi di awal Ramadhan melalui corong pembesar suara di bilik pa sistem bangunan itu.
Tidak kira masa dan tempat...Di musolla pun boleh berbincang.Setiausaha kerajaan negeri Dato Dr Abdul Rahman Hashim, Pegawai Kewangan Negeri Dato Jamaludin Al Amini, Pengarah Tanah dan Galian Dato Abu Zarr masing-masing turut menyampaikan tazkirah. Alhamdullilah semuanya berkemampuan menyampaikan tazkirah dengan baik.
Begitulah yang dicetuskan oleh Nizar Dato Jamaludin telah menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Bakhil”, manakala Dato Abu Zarr semasa diucapkan tahniah padanya kerana kemampuan menyampaikan tazkirah secara berseloroh bertanya, “Berapa ratingnya.” Sesungguhnya dato, niat dan hasrat yang cuba disampaikan tentunya diberikan ganjaran oleh Allah.
Selesai di pejabat, Nizar pula hanya berkesempatan sejam dua bersama keluarga pada sebelah petang, kerana pada setiap hari Ramadhan ini jadualnya telah disusun sebegitu ketat (atas permintaan beliau sendiri). Antara jam 5 dan 6 petang, perdana eksekutif rasminya telah bersedia membawanya ke lokasi tempat berbuka puasa di serata tempat di Perak.
Semasa melangkah keluar dari kediaman rasmi, Nizar kelihatan membawa bersama-samanya sebiji bantal untuk melampiaskan kepala dalam kenderaan. Mungkin itulah sahaja masa terbaik untuk melelapkan mata mengumpul tenaga seketika dalam kereta sebelum berhadapan dengan rakyat di tempat ditujunya.
Selepas berbuka yang kadangkala bersama Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan ada ketikanya bersama Raja Muda Raja Nazrin Shah, beliau diminta pula menyampaikan tazkirah selepas ada ketikanya beliau sendiri juga yang mengimamkan solat maghrib, isya dan terawih.
Kagum sungguh kami (para pegawai kanannya) iaitu Setiausaha Politik Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Akhbar Sdr Anuar Hashim dan Pegawai Khas Sdr Amran Harun pada boss kami ini kerana walaupun kami bergilir-gilir menemani Nizar, ada ketikanya kami yang mengalah kepenatan. Semuga diberikan kesihatan dan kekuatan pada boss kami yang ada kalanya kami namakan sebagai Tuan Haji sahaja.
0 ulasan:
Catat Ulasan