UMNO MASIH BERMAIN DENGAN ISU PERKAUMAN - MAHFUZ
>> 25 Disember 2009
Ditulis oleh Wartawan IT PAS Pusat
KUALA LUMPUR, 24 Dis - Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyifatkan perjuangan Umno Pulau Pinang masih berlegar dalam kitaran perkauman apabila dilihat cuba membangkitkan perbalahan dalam isu perebutan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Mahfuz dalam mengulas perkara tersebut mempertikaikan dakwaan pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang yang menuntut jawatan tersebut hanya kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya yang lalu.
Ujarnya, tindakan pemimpin Umno di negeri itu dilihatnya cuba meraih sokongan pengundi melayu yang makin terhakis kepada parti itu kebelakangan ini.
“Saya hairan kenapa tiba-tiba jawatan Pengerusi BN itu yang menjadi keutamaan mereka setelah BN gagal di negeri itu, kenapa tidak tuntut jawatan Ketua Menteri ketika mana mereka mempunyai majoriti dalam pilihan raya dulu,
"Sepatutnya Umno memberi keutamaan kepada isu yang lebih besar, bukannya mencetuskan isu remeh yang sering berkisar dengan isu perkauman seperti ini," soal beliau.
Jelas Mahfuz, perjuangan yang ditegakkan Umno di negeri itu disifatnya hanya lebih untuk menegakkan kepentingan politik perkauman mereka sahaja dan bukannya untuk kepentingan rakyat di negeri itu.
"Tidak ada apa yang nak direbutkan, Pengerusi BN Negeri itu hanya jawatan kecil sahaja, di peringkat nasional yang Umno pegang pun banyak masalah dan tidak boleh diselesaikan, inikan pula hanya jawatan di peringkat negeri,” tambahnya lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan