SAMM BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP NAJIB DAKWAAN ISU EUROKOPTER DAN ALTANTUYA
>> 21 Oktober 2008
KUALA LUMPUR, 21 Okt (Hrkh) - Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak polis menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pada 21 Oktober lalu berhubung dakwaan terbabit dengan skandal dan penyelewengan.
Laporan polis dibuat oleh lima anak muda yang mewakili pertubuhan masing-masing antaranya, Badrul Hisham Shaharin (Parti Keadilan Rakyat); Aiman Athirah Al-Jundi (PAS); Wan Mohd Anies Wan Adnan (Aktivis bebas); Ramlan Abu Bakar (Bebas) dan Amin Iskandar (Penganalisis politik dan blogger). Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama beberapa aktivis anak muda pada jam 1.30 petang tadi.
Menurut jurucakap SAMM, Badrul Hisham laporan dibuat berikutan dakwaan keterlibatan dan campur tangan Najib dalam isu serta perbicaraan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.
Selain itu SAMM juga membuat laporan berhubung dakwaan penyelewengan pembelian pesawat Eurokopter dan pembelian senjata, kata Badrul Hisham.
"Kami mendesak supaya polis membuka semua siasatan kes Altantuya pernah dikaitkan dengan Najib, isu dakwaan kiriman sms Najib kepada seorang peguam yang mengendalikan kes Altantuya," ujarnya kepada wartawan sebaik sahaja selesai membuat laporan tersebut.
SAMM juga mahu polis menyiasat semula pembabitan orang kanan (Abdul Razak Baginda)dan pengawal khas Najib selain pengakuan bersumpah penyiasat, Balasubramaniam berhubung kaitan Najib dengan pembunuhan Altantuya.
"Kami juga mahu seseorang dipertanggungjawabkan di atas kerugian dalam kes Eurokopter kerana ia adalah wang rakyat, justeru siasatan ke atas Najib yang juga bekas Menteri Pertahanan perlu dilakukan," ujarnya.
Sementara Aiman Athirah pula menyatakan bahawa polis harus telus dalam siasatannya berhubung dakwaan ke atas Najib kerana anak muda Malaysia tidak mahu bakal Perdana Menteri dipilih di kalangan mereka yang terbabit dengan skandal dan penyelewengan.
"Kita tidak mahu bakal Perdana Menteri orang yang tidak bersih, kerana kita bimbang akan nasib generasi akan datang dengan adanya bakal PM seperti ini, soal Abdullah Badawi menetapkan Najib pengganti itu bukan penghalang kepada polis untuk melakukan siasatan, sebaliknya tapisan ini perlu dilalui," katanya.
Terdahulu SAMM sebelum memulakan sidang media telah menayangkan kain rentang yang tertera gambar Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor selain tulisan mendedahkan skandal-skandal yang didakwa ada kaitan dengan Najib.
SAMM memaklumkan akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah sebagai langkah supaya badan itu membuat siasatan terhadap Najib. "Kita tidak mahu timbul dakwaan kononnya tiada laporan ke atas Najib, justeru dengan laporan ini ia perlu satu siasatan yang telus," katanya. _
0 ulasan:
Catat Ulasan