KEZALIMAN TANDA BERLAKU PERUBAHAN POLITIK
>> 29 Mac 2011
SHAH ALAM, 29 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kezaliman yang sedang melanda negara adalah tanda-tanda awal perubahan politik yang besar akan berlaku tidak lama lagi.
Kerana itu, beliau menyeru rakyat mesti bersatu untuk bangkit untuk buat perubahan setelah semua parti-parti politik dalam PR sudah berpakat dan kini mahu sokongan padu dari rakyat dan yakin rakyat berani untuk membuat perubahan demi kesejahteraan negara.
Menyentuh tentang fitnah jahat, Abdul Hadi menghuraikan isu dengan fakta dan menyeru masyarakat dan rakyat negara ini untuk sama-sama bangun menyokong Pakatan Rakyat yang sudah bersetuju untuk menggantikan BN memerintah negara.
"Dalam hal ini, kezaliman yang dilakukan adalah tanda kerajaan sudah nyanyuk, demi mengekalkan kuasa dengan menang pilihan raya, mereka sanggup melakukan apa sahaja.
"Kerana itu rakyat jangan terlibat dalam kerja ini, pengamal media dan perakam perlu ingat, kerja mereka menulis untuk memfitnah ini adalah dosa yang panjang walaupun mereka sudah meninggal dunia, jangan hanya memikirkan soal wang sahaja.
"Semua tamadun tidak berguna jika keseluruhan sistem dalam sesebuah negara dipenuhi dengan derita kezaliman yang dirasai oleh rakyat, rintihan mereka tidak didengar dan ingatlah, semua kerajaan itu tidak kekal," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Mengenai tindakan menayangkan video seks di hotel, bukan di mahkamah, awal-awal lagi menunjukkan ia bercanggah dengan amalan perundangan antarabangsa.
Beliau berkata, seseorang yang dituduh dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya di mahkamah adalah kaedah perundangan Islam turut diiktiraf dunia.
Malah seseorang yang dituduh itu, jelasnya, mestilah melalui proses kehakiman di mahkamah, bukan di dalam media di hadapan wartawan.
Ini, katanya jelas membuktikan wujudnya konspirasi antara mereka terbabit dengan pihak berwajib yang mempertahankan pula tindakan menayangkan itu sebagai tidak bersalah.
Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Solat Hajat dan Pidato Khas Tangkis Fitnah Jahat BN yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.(harakahdaily)
0 ulasan:
Catat Ulasan