ISU GEREJA : PAS AKAN UMUM PENDIRIAN RASMI ESOK
>> 07 Ogos 2011
KUALA LUMPUR, 6 Ogos — PAS akan membuat pendirian rasmi berhubung  serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara  Utama esok selepas mendapatkan penjelasan daripada Exco Kerajaan Negeri  Datuk Dr Hasan Ali.
“Kami akan membuat pendirian esok, apakah pendirian PAS esok... kita  tunggu esok,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
PAS akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat esok, di mana Hasan merupakan salah seorang ahlinya.
Hasan merupakan Exco Kerajaan Negeri bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam.
Dalam satu kenyataan semalam, PAS Selangor menuntut penjelasan Hasan  berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam pada satu  majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata, selain itu  pihaknya juga mahu menunggu laporan Jais mengenai serbuan itu yang turut  disertai polis.
“Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan  komen akhir sehinggalah dapat laporan Jais dan mesyuarat dewan (harian)  bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.
“Kita nak tengoklah apa bukti yang dia (Hasan) kata ada itu,” katan beliau pada sidang media di pejabatnya di sini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu setakat ini,  hanya Hasan yang mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti dengan  tujuan mahu memurtadkan umat Islam.
“Jais sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
“Setakat ini , ‘kecuali satu’ tiada mana-mana pihak yang mengaitkan  persoalan pengembangan agama bukan Islam terhadap penganut Islam,”  tambah Khalid.
Kelmarin, kira-kria 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki  premis Gereja Methodist Damansara Utama tanpa waran kira-kira 10 malam.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.
Hasan mempertahankan tindakan Jais.
Sementara itu dalam temu bual kepada HarakahDaily, Tuan Ibrahim  berkata “diiharapkan Jais dapat tampil ke depan untuk menjelaskan  keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap  gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan Jais sendiri berkeliaran  di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap.”
“Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu  perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang  boleh mengundang fitnah,” nasihat beliau.
Akhbar itu turut membawa cerita pengalaman Tuan Ibrahim.
“Ini adalah cerita sebenar daripada pengalaman saya yang sikit ini.  Semasa saya bekerja di UiTM dahulu, satu hari ketika berjumpa dengan  kawan di sebuah restoran Melayu di sekitar kawasan kampus untuk  membincangkan sesuatu saya telah memesan jus oren. Semasa air buah  dihidangkan, tauke yang menyediakan air buah tersebut dalam satu cawan  gelas yang ada jenama arak bermula huruf ‘G’. Saya memintanya dengan  baik untuk menukarkan gelas tersebut.
“Bos, air ini halal, tapi gelasnya… akan mengundang syak wasangka dan  fitnah daripada pelajar-pelajar saya dan juga kepada kedai,” kata saya.
Kata beliau terdapat dua pengajaran di sebalik peristiwa itu iaitu  manusia seperti biasa mempunyai sangka buruk – apabila mereka ternampak  “saya meminum daripada gelas arak, kebanyakan pelajar, terutamanya  pelajar Islam yang tidak mengenal arak, akan mempunyai syak wasangka  bahawa sememangnya air dalam gelas itu ialah arak walaupun ia warna oren  di sebuah restoran Melayu.”
“Dan tauke pula akan dilihat sebagai sebagai peniaga yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup menjual arak,” katanya lagi.
“Pengajaran satu – janganlah mereka terlalu cepat mempercayai fitnah  tanpa siasatan terlebih dahulu. Adakah saya bersalah sekiranya saya  minum dari gelas arak tersebut?
“Saya tidak boleh salahkan orang yang menyangka saya minum arak  daripada gelas tersebut, lebih-lebih lagi gelas yang saya pegang itu  ialah gelas arak walaupun dalamnya jus buah oren,” katanya lagi.
Kata beliau sudah tentunya “ya kerana saya telah melakukan sesuatu  yang boleh menimbulkan fitnah terhadap saya walaupun air yang diminum  itu halal dari gelas yang bersih.”
“Pengajaran kedua – janganlah kita melakukan sesuatu benda yang boleh  mengundang fitnah Kesimpulannya, manusia digalakkan bersangka baik  terhadap sesama sendiri dan juga cuba elakkan diri daripada melakukan  sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah,” kata beliau sambil menambah, isu  Jais menjadi polemik besar akibat dua perkara iaitu “mudah mempercayai  fitnah dan melakukan perkara-perkara yang mengundang fitnah.”
Tuan Ibrahim menasihatkan agar pihak Jais, dalam kesungguhan mereka  mencegah kemungkaran agama Islam,  pihak jabatan agama juga harus  sentiasa beringat untuk mesti mengelak sebarang elemen buruk dalam  melaksanakan peraturan yang ada kerana yang akan terjejas dalam tindakan  tersebut ialah kerajaan negeri dan Jais sendiri, lebih-lebih lagi ia  turut memberikan kesan terhadap nama baik Islam.
“Dalam melaksanakan peraturan yang ada, kita mesti mengelak sebarang  eleman buruk, kerana yang akan terjejas dalam tindakan tersebut ialah  kerajaan negeri dan Jais sendiri, lebih-lebih lagi ia turut memberikan  kesan terhadap nama baik Islam,” kata beliau.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang juga menasihatkan agar Jais,  sebagai sebuah badan pengawal agama harus bertindak mengikut lunas  peraturan dan prosedur yang ada.
“Keghairahan mencegah kemungkaran tidak seharusnya dilihat sebagai  campurtangan terhadap agama lain, dan di waktu yang sama, usaha elemen  pencegahan mesti diteruskan,” katanya lagi.(malaysianinsider)
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 

 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



























 
1 ulasan:
Yang perlu adalah Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakt membuka mata seluas-luasnya. Kenapa perkara ini bolih berlaku. Lebih lagi kepada umat islam di Malaysia ini.
Terjemahan kitab injil dalam bahasa melayu. Ini akibat kebenaran kerajaan yang telah memberi kelulusan.
Catat Ulasan