PERLU ADA KESEIMBANGAN ANTARA QIYADAH DAN JUNDIYAH UNTUK MENANG
>> 03 Mei 2009
TAIPING, 2 Mei - Kemenangan adalah ketetapan daripada Allah dan ia merupakan sunnah kepada perjuangan ini. Tidak ada perjuangan pada anbiya yang berakhir dengan kekalahan, kerana kemenangan adalah janji Allah SWT dan Allah tidak memungkiri janjiNya. Demikian antara isi pembentangan oleh YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa di dalam program bulanan, Liqaul Fikri PAS Negeri Perak malam tadi. Dr. Mujahid merupakan naqib jemputan Liqaul Fikri bagi bulan ini.
Oleh itu, beliau menambah, matlamat perjuangan itu perlu jelas di kalangan para pemimpin dan ahli PAS.
"Perjuangan kita adalah untuk memantapkan jemaah/parti, bukannya untuk memantapkan pemimpin atau individu dalam jemaah/parti," kata beliau
Beliau juga berkata bahawa, kemenangan itu merupakan satu harga yang mahal kerana ia adalah kurnia dari Allah SWT yang boleh melayakkan kita masuk syurga. Malangnya, menurut beliau lagi, ramai dalam kalangan ahli PAS yang menyangka bahawa apabila masuk PAS bererti sudah layak masuk syurga.
"Sedangkan Allah bukan sahaja melihat dari aspek amalan kita sahaja, malah ia bergantung kepada rahmat yang diberi oleh Allah untuk melayakkan kita masuk syurga," ujar beliau lagi.
Beliau juga berkata, ahli PAS perlu menyedari bahawa dalam PAS, kerangka tertinggi PAS ialah dakwah. Apa sahaja yang kita lakukan dalam PAS haruslah menjurus kepada usaha untuk meluaskan dakwah. PAS bukan sekadar sebuah parti politik semata-mata.
Akhir sekali beliau telah menggariskan sepuluh kriteria bagi mencapai kemenangan :
1. Yakin dengan janji Allah
2. Tidak pernah putus asa
3. Misi menyelamat bukan demi kepentingan diri
4. Kesederhanaan dalam sega serbi
5. Rendah diri sesama manusia
6. Azam yang tinggi
7. Berperancangan dalam bekerja
8. Berjiwa besar
9. Berhati mulia
10. Membudayakan sifat suka berkorban
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ustaz Haji Abu Bakar Hussin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak merangkap Pengerusi Lujnah Tarbiyyah PAS Negeri Perak. (ar_rawa)
0 ulasan:
Catat Ulasan