SIVAKUMAR DIKURUNG - SATU KONSPIRASI
>> 08 Mei 2009
Speaker DUN Perak yang digugurkan V Sivakumar berkata beliau dikurung dalam sebuah bilik persalinan selepas dibawa keluar dari DUN Perak semalam.
"Ini satu bentuk tahanan. Mereka kunci pintu," katanya, sambil menyifatkan persidangan itu - yang tidak diiktirafnya - sebagai "konspirasi" yang melibatkan banyak pihak.
"(Konspirasi) ini jelas hendak jatuhkan Speaker (Sivakumar). Jika ini bukan konspirasi, saya tidak tahu apakah maknanya konspirasi," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DAP Perak di Ipoh pagi ini.
Turut hadir, tokoh popular DAP Lim Kit Siang dan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu. Menyifatkan insiden semalam sebagai memalukan, kesemua mereka bergambar sambil memegang kertas bertulis "malu" dalam pelbagai bahasa. Di penghujung sidang media berkenaan, mereka turut menayangkan rakaman beberapa insiden kekecohan di dalam dewan persidangan yang penuh drama dan emosi selama enam jam.
Sivakumar turut menyuarakan kekesalannya terhadap tindakan bentara yang tidak menurut perintahnya, sebaliknya meminta beliau keluar dewan. Beliau berkata, bentara datang kepadanya dan berkata: "YB Adun Tronoh (Sivakumar), saya minta tuan keluar daripada dewan. Arahan daripada Speaker (baru, lantikan BN)."
Menteri besar BN HARAM Datuk Zambry Abd Kadir semalam mengusulkan R Ganesan, bekas ADUN Sungkai, sebagai pengganti Sivakumar pada sesi pagi di tengah-tengah bantahan semua 27 ADUN Pakatan Rakyat sebelum dewan dibuka secara rasmi oleh Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.
Sivakumar menegaskan, persidangan DUN Perak semalam "tidak pernah bermula" kerana sejak awal lagi beliau memaklumkan, dewan hanya akan bersidang apabila Zambry dan enam exconya - yang telah digantung - keluar. Beliau membacakan beberapa peruntukan dalam peraturan tetap dewan bagi membuktikan prosiding itu sebagai "bukan persidangan".
Dalam sidang media yang sama, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Ko Ham menyifatkan tindakan polis dan sekumpulan pegawai DUN mengeluarkan Sivakumar dari dewan sebagai penafian hak ADUN tersebut.
"Walaupun Sivakumar bukan Speaker, beliau tetap seorang ADUN yang berhak duduk di dalam dewan," katanya.
Setiausaha parti itu Nga Kor Ming pula mendakwa, "terdapat beberapa samseng tanpa pas (kebenaran)" telah masuk ke dalam dewan dan "memukul wakil rakyat dan speaker"."Malaysia sebagai pengerusi CPA (Persatuan Parlimen Komanwel) tahun 2008, tetapi dalam tanah air kita sendiri pula berlaku kejadian speaker dewan dan wakil rakyat dipukul dengan kekerasan.
"Tindakan BN yang membenarkan pihak polis dan beberapa samseng tanpa pas memasuki dewan dan memukul wakil rakyat dan speaker adalah satu perkara yang tidak pernah berlaku (dalam sejarah negara) dan menjatuhkan maruah negara kita," katanya.
Beliau menambah, mereka akan mengadukan perkara tersebut kepada polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan badan antarabangsa, termasuk CPA.Sementara Lim pula meminta seluruh rakyat menyimpan gambar insiden Sivakumar dibawa keluar dari dewan semalam sebagai "rekod berlakunya hari yang buruk dan memalukan" dalam sejarah negara. Belau turut menyelar penangkapan 69 orang - termasuk 10 ahli parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat - oleh polis sejak pagi semalam sebagai "salah guna kuasa" kerana sepatutnya polis menumpukan perhatian kepada kejadian jenayah yang berlaku. (malaysiakini)
0 ulasan:
Catat Ulasan