PROGRAM BUDI DITABUR KASIH DISEMAI DI KG SUNGAI SAMAK
>> 30 Januari 2009
Program Budi Ditabur Kasih Disemai yang telah dijalankan di Kg Sungai Samak telah berjalan dengan baik dan lancar. Program anjuran Jabatan Pendidikan Seni Visual, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim ini telah berlangsung selama empat hari.
Berkonsepkan program anak angkat dan baktisiswa ini telah mendapat kerjasama yang amat baik antara pihak UPSI dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKKn) Kg Sungai Samak.
Seramai 84 orang peserta di kalangan mahasiswa Pendidikan Seni Visual UPSI telah menjadi anak angkat kepada penduduk kampung. 34 keluarga telah terpilih menjadi keluarga angkat para mahasiswa tersebut.
Menurut Timbalan Pengarah program Saudara Mohd Najib Ahmat, kerjasama baik yang telah diberikan oleh pihak JKKK Kg Sungai Samak telah menjadikan program ini berjaya. Program bermula pada 26 Januari dengan ketibaan rombongan para peserta. Ia disusuli dengan acara perasmian oleh Dekan Fakulti Seni dan Muzik, Dr. Mohd. Hassan bin Abdullah. Kemudian acara penyerahan anak angkat kepada penduduk kampung dijalankan.
Hj. Anuar bersama Dr. Suhaimi Mohd. Nor, wakil UPSI.
Kebanyakan aktiviti yang dijalankan pada sepanjang program ini adalah berbentuk kemasyarakatan, pendidikan, keagamaan, sukan dan kesenian. Antaranya aktiviti gotong royong membersihkan masjid dan kawasan perkuburan, sukaneka, keceriaan kawasan sekolah, bengkel seni dan kreatif dengan pelajar sekolah, senaman pagi, tazkirah dan kuliah agama, serta explorace desa.
YB Anuar menyampaikan nasihat kepada para peserta.
Pada 29 Januari, majlis penutupan telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kg Sungai Samak. Ia telah disempurnakan oleh ADUN Changkat Jong, YB Hhj. Mohd. Anuar bin Sudin.
Mahasiswa Bakal Pemimpin
Di dalam ucapan, YB Anuar telah menekankan kepada konsep acuan Islam atau acuan Allah (sibghatallah) yang perlu disemai dalam kalangan para mahasiswa kini. Menurut beliau, sebagai bakal pemimpin masa depan, mahasiswa perlu mengutip sebanyak mungkin ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi sebagai bekalan untuk mereka menghadapi cabaran akan datang.
"Walau bagaimanapun, mahasiswa perlu memahami dan mengerti bahawa hanya Islam sahaja yang dapat menyelesaikan pelbagai masalah. Jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh kita dalam menjalani hidup sebagai pelajar apatah lagi setelah menjalani hidup di luar kampus kelak, " kata beliau lagi.
Sebelum itu, wakil pelajar yang juga merupakan Pengarah Program, Saudari Azizah Salleh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak JKKK Kg Sungai Samak yang telah sudi menerima para mahasiswa UPSI untuk menabur budi. Menurut beliau, antara objektif program ini ialah mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk kampung dengan mahasiswa, melatih para mahasiswa untuk berorganisasi, memberi eluang mahasiswa untuk mencurah bakti kepada masyarakat kampung serta sebagai persediaan memantapkan diri bakal-bakal guru yang akan memasuki alam pekerjaan kelak.
Bagi Ketua Kampung Sg Samak pula, Saudara Saifudin, kesediaan pihak UPSI memilih kampung ini sebagai tempat program anak angkat merupakan satu penghargaan kepada penduduk kampung. Beliau mewakili para keluarga angkat berasa cukup bertuah kerana berpeluang berinteraksi dengan para mahasiswa dan dapat membimbing mereka.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua mahasiswa yang bersama-sama bergotong-royong melakukan pelbagai pekerjaan seperti mengindahkan masjid dan sekolah berhampiran.
Acara diakhiri dengan sesi fotografi sesama pelajar dan keluarga angkat serta bersama ADUN Changkat Jong.
0 ulasan:
Catat Ulasan