ADA PROFESOR "JULING" SEJARAH ...
>> 13 September 2011
KOTA BHARU, 13 Sept: Kenyataan Majlis Profesor 
Negara kononnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi 
British disifatkan tokoh sejarah dari Universiti Malaya sebagai ‘juling 
sejarah’.
“Bukan sejarahwan sebenarnya kalau mengeluarkan kenyataan seperti 
itu. Saya tidak faham mengapa boleh berlaku begitu,” kata Prof Datuk Dr 
Mohamad Abu Bakar (gambar).
Menurutnya sejarah kalau tidak dinilai semula hanya akan diboloti pihak-pihak tertentu sahaja.
”Saya masih ingat kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr 
Ismail meminta dinilai golongan kiri yang turut berjuang menuntut 
kemerdekaan,” katanya pada forum rakyat di Dataran Stadium Sultan 
Mohamad Ke IV malam tadi.
Forum berkenaan dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. 
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga bertindak sebagai panelis pada 
forum tersebut.
Sebelum itu perasmian dilakukan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sebelum ini Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis 
Profesor Negara, Prof Datuk Zainal Kling menegaskan Tanah Melayu tidak 
pernah dijajah dan hanya dinaungi Inggeris.
Pandangan itu ditolak pelbagai pihak sehingga menjejaskan kewibawaan Majlis Profesor Negara yang baru ditubuh kerajaan.
Dr Mohamad berpengalaman selama 21 tahun sebagai profesor sejarah di 
UM berkata, tujuan mengkaji sejarah mempunyai dua makna iaitu untuk 
mengetahui peritiwa yang berlaku.
Dan keduanya menceduk pengetahuan tentang peristiwa tersebut.
Kata beliau sejarah hanya sahih sehingga ada penemuan bahan-bahan baru. Ini bermakna sejarah boleh berubah.
”Sebagai contoh sejarah Tembok Besar China diberi versi baru sekarang
 apabila ada kajian menyebut ribuan rakyat terkorban semasa membina 
tembok tersebut.
”Ini bermakna Tembok Besar China sedang ’bertutur’ dengan penderitaan rakyat,” ujarnya.
Oleh itu beliau membuat tanggapan Mohamad Sabu muncul sebagai penilai
 sejarah baru, bila mana sebelum ini kita hanya melihat melalui satu 
teropong sahaja.
Sebab itulah kata beliau bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir 
Mohamad membuat kenyataan sejarah yang diajar di sekolah ada yang tidak 
betul.
”Permulaan isu ada penjernihan akhirnya. Kebatilan pasti luput 
apabila timbul kebenaran. Dan kebenaran sekarang mulai muncul sedikit 
demi sedikit,” ujarnya.
Beliau menyimpulkan sejarah merupakan sesuatu catatan tentang perkara yang lojik dan masuk akal.
Sementara itu, orang ramai yang hadir pada forum berkenaan dikejutkan
 dengan kejadian beberapa kenderaan disembur cat hijau oleh pihak 
tertentu.
Mohd Nasir Ismail, 45 dari Pasir Mas berkata, keretanya jenis Ulser 
Toyota yang di parkir berhampiran Gelanggang Seni disembur cat hijau.
Katanya, banyak lagi kenderaan milik orang lain yang diletak di situ menerima nasib yang sama.
”Ketika saya datang ke tempat kereta semasa hendak pulang saya lihat 
ada anggota polis di kawasan berhampiran, namun dia tidak menanyakan apa
 yang berlaku.
”Saya yakin pihak yang melakukan perbuatan khianat itu berani kerana kemungkinan besar mereka dilindungi kuasa politik.
”Kita boleh lihat sendiri apabila kes aktivis Gerakan Bertindak 
Kembali Royalti Rakyat Kelantan, Hishamuddin Ghazali yang ditampar 
veteran Umno beberapa bulan lalu tidak diambil sebarang tindakan biar 
pun laporan polis sudah dibuat,” ujarnya.
Turut menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut kereta milik seorang 
wartawan tempatan. Difahamkan beliau sudah membuat laporan polis pagi 
ini.(harakahdaily)
 
 
 
 
 
 
 


 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan