ISU TANAH MELAYU TAK PERNAH DIJAJAH: APA PENDIRIAN UMNO ?
>> 15 September 2011
KUALA LUMPUR, 15 Sept — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat berkata, beliau masih menanti pendirian dan jawapan rasmi Umno
berhubung kenyataan Majlis Profesor Negara (MPN) bahawa negara ini tidak
pernah dijajah oleh British dan mana-mana kuasa asing lain.
Menulis di laman Facebook pagi ini, Nik Aziz
berkata Umno sehingga ini masih belum memberikan sebarang respons
perkara itu walaupun banyak pihak tidak bersetuju dengan kenyataan yang
dikeluarkan MPN itu.
“Bismillah . . . saya membelek akhbar-akhbar tempatan dan menanti
melalui media massa, pemimpin Umno sampai ke saat ini belum memberikan
respons terhadap pandangan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
“Barangkali isu ini kecil bagi mereka atau bagaimana? Atau dalam hal
ini pemimpin Umno dengan bertanggungjawab sekalipun yang mengeluarkan
pandangan itu adalah ahli Umno . . . bahkan bekas presiden Umno pun
dilaporkan bersetuju,” kata Menteri Besar Kelantan ini.
Sebelum ini PAS mencabar Umno untuk menyatakan pendirian parti Melayu
terbesar itu namun sehingga kini tiada jawapan yang diberikan.
Menurut Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, selaku
kerajaan pusat yang memerintah negara sejak 54 tahun lalu, Umno yang
kini diterajui Datuk Seri Najib Razak harus menyatakan pendirian parti
itu.
Isu negara tidak pernah dijajah terlebih dahulu dibangkitkan
jurucakap MPN Profesor Datuk Dr Zainal Kling dan Profesor Emeritus Tan
Sri Dr Khoo Kay Kim.
Mereka mengatakan bahawa kehadiran British adalah berasaskan
perjanjian dengan Raja-raja Melayu dan pegawai British ditugaskan
menjalankan pentadbiran dengan kedaulatan tetap pada raja.
Selain itu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui
bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan,
penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah
pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu.
Beliau berkata British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”(themalaysianinsider)
0 ulasan:
Catat Ulasan