PERUTUSAN AIDIL FITRI DARIPADA PJ PERAK
>> 02 September 2011
Bagi  pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 
Perak, saya mengucapkan selamat  Hari Raya Aidilfitri 1432 Hijrah, hari 
kebesaran kurnia daripada Allah  SWT setelah kita menunaikan ibadat 
puasa dalam masa sebulan, berjihad  dan bermujahadah dengan mengerjakan 
ibadat dengan penuh ketaatan kepada  Allah SWT, melakukan perkara yang 
disuruh dan meninggalkan perkara yang  dilarang.
Ibadat yang melatih kita  untuk menjadi 
orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Hanya orang  yang bertakwa 
sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah  SWT 
melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi  petunjuk 
kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.
Dalam  masa yang sama, bagi menegakkan 
petunjuk ini, kita berdepan dengan  cabaran. Al-Quran menjadi furqan, 
yang membezakan di antara hak dan  batil, benar dan salah. Dengan 
petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang  benar, menentang perkara yang 
bercanggah dengan Al-Quran.
Dengan  semangat tarbiah melalui Ramadan, 
menjadikan diri kita orang yang  beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang
 sanggup menghadapi cabaran  selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan
 daripada Allah SWT, walaupun  kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang 
ramai yang tidak akan memberi  kesempatan kepada Islam untuk tegak 
semula di bumi Allah SWT ini.
Dengan  takwa dan iman yang yang kuat, 
kita yakin semua musuh itu adalah kecil  apabila kita bersama dengan 
Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di  bulan Ramadan berlakunya 
kemenangan kepada umat Islam.
Dalam  peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain
 Jalut dan penawanan Kota Belgrade  di Balkan pada zaman Kerajaan 
Othmaniah dalam keadaan orang Islam  dianggap lemah tetapi hati mereka 
ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta  benda dan jiwa raga disertakan 
dengan iman yang kuat, percaya kepada  Allah SWT dan percaya kepada 
janji Allah SWT, dunia dan akhirat.  Berbekalkan perkara-perkarta itu, 
Allah SWT memberikan kemenangan kepada  generasi awal Islam.
Saya yakin dan  percaya sekiranya umat 
Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan  teladan tersebut, mereka 
juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh  Allah SWT.
Marilah pada kesempatan  ini, kita 
membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal  kita dalam
 meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan  pengorbanan kita
 dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT  supaya agama 
ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al  Quran Karim.
Dalam masa yang sama,  pada kesempatan 
ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di  kalangan kita 
dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam  sehingga 
mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah  satu 
ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain,  
sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang  
berkait dengan urusan agama dan dunia.
Dalam  masa yang sama, membolehkan kita 
menyampaikan mesej kita kepada seluruh  manusia untuk menyatakan bahawa 
kitalah yang menyelamatkan manusia yang  sebenar di dunia dan di 
akhirat.
Mudah-mudahan  dengan semangat ini, kita 
berjaya menjadi seorang Islam yang diterima  oleh Allah SWT dan 
merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah,  firman-Nya yang 
bermaksud:
“Wahai  orang-orang yang beriman, 
bertakwalah kamu kepada Allah dengan  sebenar-benar takwa dan janganlah 
kamu mati melainkan dalam keadaan kamu  menjadi orang-orang Islam.” 
(Surah Ali Imran: 102)
Ustaz Haji Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
0 ulasan:
Catat Ulasan