KASIH IBU
>> 18 Disember 2008
Anjing adalah haiwan yang dicipta Allah SWT sebagaimana makhluk yang lain, termasuk manusia. Yang membeza di antara haiwan dengan manusia ialah aqal fikiran yang dipunyai manusia tidak ada pada haiwan termasuk anjing.
Beberapa hari lepas, saya keluar rumah pada pukul 9 malam untuk menghadiri ceramah. Di pertengahan jalan, saya nampak seekor anak anjing yang saya rasa sudah mati. Mungkin dilanggar kenderaan. Kesian juga tengok anak anjing itu.
Sekembalinya saya dari tempat ceramah kira-kira 12.30 pagi, bangkai anak anjing itu masih ada lagi di situ tetapi kali ini di sampingnya terdapat sekor anjing besar. Saya rasa mungkin itu ibu kepada anak anjing yang mati tadi. Begitu setia ibu anjing itu menunggui anaknya yang sudah tidak bergerak itu.
Keesokan paginya, ketika hendak pergi ke pasar, lebih kurang 8.00 pagi, saya dapati ibu anjing itu masih duduk di tepi anaknya. Sedih rasanya.
Terdetik di dalam fikiran saya, betapa kasihnya siibu anjing itu terhadap anaknya yang telah mati. Sejak tengah malam tadi sehingga pagi ini, siibu anjing masih duduk di tepi anaknya.
Lalu, fikiran saya terus link kepada isu buang anak yang semakin berleluasa masa kini. Anak yang baru lahir dibuang, tanpa mengira tempat. Dibuang di tepi pagar masjid, dalam sungai, tempat buang sampah, dalam longkang dan macam-macam lagi.
Kalau anjing tadi yang mana Allah tidak kurniakan aqal fikiran tapi ada perasaan boleh bersedih dan menunggu anak yang telah mati (macam ada rasa kemanusiaan pulak) tapi perkara sebaliknya telah berlaku. Ada dalam kalangan manusia yang sanggup membuang anak dengan tanpa rasa keperimanusiaan (sebab ada keperibinatangan ?).
Fikir-fikirkanlah ...
0 ulasan:
Catat Ulasan