NGO MUSLIM TARIK DIRI DARI FLOTILLA II
>> 25 Jun 2011
SHAH ALAM, 24 Jun: Dewan Pemuda PAS menegaskan tidak akan menghantar wakil untuk menyertai Flotilla II dan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia.
Ketua Penerangannya, Ustaz Riduan Mohd Nor berkata, meski dipujuk oleh pihak terbabit untuk bersama dengan Flotilla II, namun Pemuda PAS enggan.
Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily petang ini, Riduan berkata, pihaknya akan membantu rakyat Palestin dalam bentuk lain dan tersendiri.
"Kami hanya enggan sertai flotilla II ini tetapi Pemuda PAS akan bantu melalui kaedah lain dan kami akan mengelak diri dari dimanipulasi oleh Umno BN.
"Banyak pihak menyifatkan misi kali ini cuba dikudatunggangi BN yang ingin mewajahkan mereka mesra Palestin sedangkan sudah RM154 juta mereka bayar pada APCO," tegasnya.
Beliau mengesahkan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi telah dihubungi oleh Pengerusi LL4G, Dr Noorazman Shamsudin melalui panggilan telefon, semalam.
Dalam pada itu, sehingga petang ini semua NGO Muslim yang merintis LL4G untuk menjayakan Flotilla II telah menarik diri.
Setelah Muslim Care Malaysia dan Cakna Palestin secara rasmi menarik diri pada 22 dan 23 Jun, dimaklumkan hari ini Public Campaign to Protect Palestine (PC2P) - Aman Palestine pula akan menarik diri secara rasmi.
Sementara itu ketika dihubungi, Pengerusi Haluan Palestin, Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hassan mengesahkan Haluan Palestin tidak bertanggungjawab di atas apa-apa tindakan Noorazman kerana beliau tidak mewakili Haluan dalam LL4G Malaysia ataupun Flotilla II.
Jelasnya, kepimpinan tertinggi Haluan telah membuat keputusan rasmi pada hujung April 2011 bahawa Haluan tidak menyertai LL4G Malaysia dan Flotilla II dan Noorazman juga telah dinasihatkan tidak terlibat.
Menurut Dr Syed Muhamad, penglibatan Norazman dalam LL4G dan Flotilla sekarang ini adalah atas kapasiti individu dan bukan sebagai wakil Haluan.
Sementara itu, Muslim Care pula memaklumkan sedang membuat persiapan untuk misi bantuan ke Gaza melalui Rafah.
Misi ini kemungkinan akan turut disertai oleh Cakna Palestin dan NGO serta beberapa pihak lagi.
Khalis Samad Tarik Diri
Beliau sebelum ini diumumkan sebagai mewakili Ahli Parlimen PAS semasa pelancaran Flotilla II ke Gaza oleh Perdana Menteri Najib Razak, 18 Jun lalu di Stadium Badminton Kuala Lumpur Cheras.
Khalid yang kini berada di Tanah Suci Makkah sejak 22 Jun berkata, hatinya merasa berat untuk ikut serta berdasarkan situasi yang berlaku tentang tatalaku pengurusan LL4G yang baginya, telah dikuasai Umno.
Menurutnya, beliau mengambil keputusan menarik diri dari menyertai flotilla II selepas memohon petunjuk dari Allah SWT dengan berkat malam Jumaat di hadapan Kaabah Asy-Syarif.
"Setelah melakukan solat istikharah pagi tadi (Jumaat) dan bila bangun sebelum Subuh, hati saya semakin berat untuk menyertai misi ini, juga teringat betapa pihak penganjur langsung tidak menghubungi saya dan segala maklumat saya terpaksa telefon sendiri.
"Semakin jelas misi ini ada agenda tertentu apabila berlakunya kes Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dihalang berucap dalam majlis pelancaran dan penipuan penganjur berhubung isu itu, seterusnya penarikan diri Muslimcare yang dinafikan penganjur.
"Sekiranya dari sekarang menipu, tak tahu apa lagi yang akan berlaku kelak," jelasnya melalui mesej BBM kepada HarakahDaily.
0 ulasan:
Catat Ulasan