IPOH BAGAI ZON PERANG - NIZAR
>> 29 Oktober 2009
KUALA LUMPUR, 29 Okt: Pakatan Rakyat Perak menyelar penafian yang dibuat ketua polis negeri itu yang mendakwa anggota keselamatan mereka tidak melakukan sebarang halangan dan kekasaran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan.
Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada satu sidang media di lobi parlimen siang tadi berkata, penafian oleh mana-mana pihak berhubung berlakunya kekasaran dan halangan terhadap Adun pakatan adalah satu penafian bohong. Menurutnya, kesemua Adun Pakatan semalam di halang dan ada di antara mereka dikasari sewaktu ingin menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut. "Kalaulah dinafikan oleh ketua polis Perak, ketua polis negara mahupun menteri dalam negeri, ini satu pembohongan," katanya. Pihak polis dakwanya telah melanggar peraturan Panel Kod 124 Kanun Keseksaan kerana telah menghalang ADUN dari melaksanakan tugasan menghadiri sidang Dun. Menceritakan kembali pengalaman mereka menghadiri Sidang Dun Perak semalam, beliau memberitahu kesemua Adun pakatan berdepan sekatan pihak polis di lima tempat iaitu tiga sebelum masuk ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, dan dua sebelum masuk ke dewan persidangan. "Kami disekat dengan lima 'check point' (pemeriksaan), di setiap check point itu kami hanya dibenar masuk seorang demi seorang. "Keadaan itu sengaja dibuat supaya kami tidak masuk (dewan persidangan) sebelum pukul 10," katanya yang juga Adun Pasir Panjang. Selepas memasuki pagar bangunan SUK, kesemua Adun Pakatan katanya ditolak ke kawasan letak kereta di bawah bangunan tersebut. Jelasnya, tindakan tersebut bagi menghalang oarang ramai dan pihak media melihat kekasan yang mereka lakukan kepada Adun pakatan. "Mereka menolak kami ke kawasan parking kereta supaya tidak dilihat umum. "Di situlah mereka menjalankan 'operasi' mencekik sivakumar," ceritanya lagi.
(Gambar: Ngeh Ko Ham menunjukkan aksi bagaimana speaker Pakatan Perak, V.Sivakumar di cekik) Apa yang diketahui rakyat berhubung insiden semalam katanya, hanya antara secebis yang berlaku yang sempat dirakam oleh petugas media, malah masih banyak kekasaran lain diperlakukan kepada mereka khususnya kepada Speaker, V Sivakumar sebelum memasuki dewan persidangan. "Saya lihat seorang anggota polis, ASP Bala nama dia, merampas songkok speaker Sivakumar di hadapan kami," katanya lagi. Beliau juga mendakwa selain dicekik, Sivakumar turut dihentak diperut. Selain itu, pelbagai tekanan lagi dilakukan kepada Adun pakatan termasuk dipaksa menggunakan laluan tangga kerana lif ke dewan persidangan diberhentikan, komputer riba dan kamera dirampas dan kesemua pintu masuk ke dewan dikunci dengan hanya satu laluan dibuka. Kehadiran ratusan anggota polis mengawal bangunan SUK itu juga di ibarat Ipoh seperti berada dalam 'zon perang'. Jelasnya jalan-jalan menuju ke bangunan tersebut yang ditutup, berpuluh trak polis dan simpanan persekutuan FRU merintangi pintu masuk ke bangunan SUK serta notis larangan berada di dalam kawasan 50 meter dari kawasan bangunan SUK seolah-olah wujud ancaman besar terhadap ibu negeri itu. Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah semalam menafikan anggota keselamatan mereka melakukan kekasaran dan menghalang Adun Pakatan Rakyat memasuki Bangunan SUK untuk menghadiri sidang. Beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan speaker yang juga Adun Tronoh V.Sivakumar dikasari sehingga menyebabkan jubah yang dipakainya terkoyak. Hadir sama pada sidang media tersebut, Adun Pantai remis, Nga Kor Meng dan Adun Setiawan Ngeh Ko Ham. Semalam, Adun Pakatan memberitahu selain Sivakumar, sekurang kurangnya dua lagi dikasari pihak polis termasuk Nga Kor Meng di mana alat sulitnya dipegang manakala seorang lagi Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai diseret di lantai. Dalam persidangan berasingan semalam, Pakatan Rakyat telah meluluskan dua usul dan satu usul tergempar. Usul tergempar adalah rakaman takziah kepada mangsa tragedi program 1Malaysia di Kuala Dipang dan semua kem program latihan khidmat negara dan program luaran lain digantung sehingga siasatan kes tersebut selesai. Dua usul lagi adalah bersetuju melantik bekas pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman sebagai senator dan merakam penghargaan terhadap laporan Ketua Audit Negara, sewaktu pentadbiran Pakatan pada tahun 2008. _(harakahdaily) |
0 ulasan:
Catat Ulasan