PERJUANGAN PAS TELAH DITERIMA DI SARAWAK
>> 17 April 2011
Walaupun tewas di kelima-lima kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya  negeri Sarawak hari ini, tetapi berdasarkan jumlah yang diperolehi,  menunjukkan PAS "sudah diterima dan tidak asing lagi" di negeri itu.
Oleh itu, kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata parti  itu akan memikirkan langkah lebih serius untuk terus bertapak di  Sarawak.
"PAS tidak kecewa dengan kekalahan itu kerana kita  parti baru. Ini kerana jumlah majoriti yang meningkat seratus peratus  (di Beting Maro) berbanding pada 2006.
"Di Beting Maro kita  dahulu kita kalah (majoriti) lebih 800 undi, kali ini kita kalah  majoriti lebih 300. Ini menunjukkan ada peningkatan undi (kepada  kita)... 
"Semua kerusi yang kita bertanding, tidak ada yang  hilang deposit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
PAS bertanding di DUN Sadong Jaya, Muara Tuang, Subayau, Tanjong  Datu dan Beting Maro.
"Masyarakat setempat sudah menerima  kita, maka lebih mudah untuk kita mendekati mereka," tambah Salahuddin.
Menurutnya, selepas ini parti akan membuat bedah siasat untuk  mengkaji kelemahan dan kekuatan jentera di peringkat akar umbi.
Sementara itu, timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berkata  walaupun kalah, tetapi beliau "positif" bahawa PAS akan terus membuat  anjakan bagi meningkatkan sokongan rakyat.
Malah, katanya,  PAS juga mendapat  jumlah undi yang membanggakan, khususnya di Muara  Tuang dan Tanjong Datu - yang kali pertama ditandingi dalam dalam  pilihan raya negeri kali ini.
"Ini merupakan petanda bahawa  rakyat Sarawak tidak menolak secara total. Keputusan itu membuktikan  mereka menerima kehadiran PAS bagi melangsungkan perjuangan untuk  rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Nasharuddin berkata sepanjang kempen pilihan raya itu, khususnya  di kawasan pedalaman, ramai pengundi telah mengenali pemimpin PAS yang  berkempen di situ.
Katanya, PAS akan terus menyusun program  bagi menarik sokongan pengundi di negeri itu khususnya di kawasan yang  ditandingi parti itu.
"(Semua kerusi yang ditandingi) kita  tidak hilang deposit. Iini satu petanda bahawa tanah Sarawak subur untuk  PAS," katanya sambil menambah PAS menghormati keputusan rakyat dalam  pilihan raya ini.
Berdasarkan keputusan rasmi, jumlah undi  yang diterima oleh calon PAS adalah seperti beriku - Abang Ahmad Kardee  Abang Masagus (Beting Maro - 2,678 undi) Abang Eddy Allyanny Abang Fauzi  (Sadong Jaya -1,074 undi), Noraini Hamzah (Muara Tuang -  3,196 undi),  Adam Ahid (Sebuyau - 1,769) dan Nani Sahari (Tanjong Dato - 1,002 undi).
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



























 
0 ulasan:
Catat Ulasan