YB KHALIL IDHAM DIGANTUNG HADIR SIDANG AKAN DATANG
>> 16 April 2011
IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini  meluluskan usul untuk menggantung Drs Khalil Idham Lim (PAS-Titi Serong)  daripada menghadiri satu sesi persidangan DUN akan datang.
Khalil Idham dikenakan tindakan itu selepas dirujuk kepada  Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 2 Dis lepas atas dakwaan tidak  bercakap benar dan enggan bertanggungjawab atas perkara yang  diperkatakan pada persidangan itu kerana menuduh terdapat anggota DUN  membawa bomoh ketika Dewan bersidang pada 7 Mei 2010.
Penggantungan itu dibuat selepas majoriti anggota DUN pada  persidangan hari ini bersetuju terhadap usul memperakukan laporan  Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang bersidang 25 Feb lepas.
Seorang lagi anggota DUN, Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) yang  dirujuk ke jawatankuasa itu apabila didakwa menuduh exco kerajaan negeri  Selangor menerima rasuah, tidak dikenakan apa-apa tindakan.
Datuk Nasaruddin Hashim (BN-Bota) berkata Jawatankuasa Hak dan  Kebebasan DU Ntelah membuat perakuan terhadap kedua-dua Adun berkenaan  yang dirujuk kepada jawatankuasa itu pada 2 Dis lepas.
"Jawatankuasa ini mendapati Adun Titi Serong mempunyai isu berbangkit  dan mempunyai prima facie yang perlu dijawab olehnya tetapi Adun Titi  Serong gagal memberi penjelasan kerana enggan menghadiri persidangan  jawatankuasa pada 25 Feb lepas.
"Sehubungan itu, jawatankuasa mendapati Adun Titi Serong gagal untuk  bertanggungjawab atas kebenaran kenyataannya pada persidangan DUN  berkenaan," katanya ketika membentangkan usul laporan dan perakuan  Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu pada persidangan DUN di sini Jumaat.
Beliau berkata, Adun Temenggor pula mengatakan Ronnie Liu rasuah  berdasarkan komen-komen beberapa anggota DAP di Selangor, oleh itu tiada  isu dan tiada prima facie serta tiada tindakan dikenakan terhadapnya.
Usul bagi memperakukan laporan itu dibawa oleh Nasaruddin dan  disokong oleh Datuk Rusnah Kassim (BN-Ulu Kinta) serta dipersetujui  majoriti anggota DUN tanpa dibahaskan.
Sebaik Speaker Dewan Datuk R.Ganesan mengatakan majoriti anggota  persidangan DUN bersetuju dengan usul yang dibawa Nasaruddin itu, Ketua  Pembangkang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertindak keluar Dewan  dengan diikuti sembilan wakil pembangkang lain.
Sementara itu, persidangan DUN hari ini meluluskan pindaan Enakmen  Menteri Besar Perak (Pemerbadanan) 1951, Enakmen Perbadanan Pembangunan  Pertanian Negeri Perak serta meluluskan tiga jawatankuasa iaitu  Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri, Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap  Negeri dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri serta pelantikan  anggotanya.
Persidangan Dewan ditangguh pada satu tarikh yang akan ditetapkan  kemudian. -BERNAMA 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 

 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



























 
0 ulasan:
Catat Ulasan