NASIB SEORANG PENCINTA KEADILAN
>> 29 Julai 2011
Pasca BERSIH: Ust Zamri Di BERSIHkan dari TV9
Mungkin  ramai yang terkejut apabila program keagamaan, Adik & al-Quran yang  disiarkan di TV9, telah dihentikan siarannya sejak seminggu lalu. 
Perkara  itu dikatakan berpunca daripada penyebaran gambar hosnya, Ustaz Haji  Mohd Zamri Haji Mohd Zainuldin atau lebih dikenali dengan panggilan  Ustaz Zamri, ketika terlibat dalam perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu.  
Penerbit  eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy, yang dihubungi berkata, arahan  menghentikan program itu dikeluarkan oleh pihak atasan Prime Works atas  sebab tertentu. Namun beliau tidak pula menafikan atau mengesahkan ia  berpunca dari penyebaran gambar hosnya dalam perhimpunan Bersih itu. 
“Pihak  produksi telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Makluman dalam bentuk  arahan ini sudah pasti ada sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat  diteruskan, cuma ia tidak boleh diuar-uarkan kepada umum. 
“Program  Adik & al Quran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan antara  program yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton, tetapi  stesen TV lebih mementingkan isu sensitiviti dan perlu memberi penekanan  kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian semalam. 
Katanya  lagi, memandangkan program tersebut telah mencapai satu rating yang  baik, namun ia sedikit terjejas berikutan timbulnya perkara sebegini. 
“Pada  pandangan peribadi saya, seseorang yang bergelar ikon harus lebih  berwaspada agar tidak terjadinya kejadian yang tidak diingini. 
“Adalah  wajar menjaga personaliti diri dan imej agar ia tidak memberikan  sebarang perspektif tidak baik,” katanya kepada Sinar Harian. 
Tambahnya, program itu akan disiarkan semula cuma masih tidak mendapat tarikh yang baru. 
“Berehat  itu ada kalanya tidak mengambil masa. Namun, ia bergantung pada  keputusan pihak atasan. Kadang-kadang cuma seminggu, ada juga yang tiga  minggu. Semua itu bergantung pada keputusan mereka. 
“Sebagai menggantikan program itu, ia digantikan dengan program Mari Bertarranum,” katanya. 
Terima apa saja keputusan Ustaz Zamri
Sementara, Ustaz Zamri, berkata, dia sudah pun berbincang dengan pihak TV9 dan mengharapkan agar perkara itu tidak berlarutan. 
“Saya  telah dipanggil untuk berbincang dengan pihak TV9 beberapa hari selepas  gambar itu tersebar. Alhamdulillah, kami berbincang secara mahabbah  (aman). Apa sebenarnya yang berlaku pada 9 Julai itu sudah saya  terangkan kepada mereka dan tidak perlu saya ceritakan kepada umum. 
"Saya  faham situasi ini. Mungkin ia nampak lebih berat apabila ia mendapat  komen yang agak mendalam menerusi Facebook, saya sendiri tidak pasti  mengenai hal ini dan terima apa sahaja keputusan,” katanya yang kini  sedang menuntut pengajian dalam bidang tafsir Ulumul Quran di Universiti  Antarabangsa Madinah, Malaysia.
-sinarharian-
 
 
 
 
 
 
 
 


 
 
 

 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 



























 
2 ulasan:
Puakx yang tidak boleh menerima
kenyataan yang mereka telah ditolak
oleh semua.Nampaknya kita sedang
hidup dibawah pemerintah komunis
cara halus.
pas/pkr/dap menerap secara halus fahaman komunis kepada jenarasi
sekarang
Catat Ulasan