MASJIDKAN PADANG BOLA DAN KEDAI KOPI - DR. MUHAIMIN / مسجدکن ڤادڠ بولا دان کداي کوڤي - دوکتور موهايمين
>> 29 Januari 2011
TELUK INTAN, 28 Januari - Konsep politik dan dakwah yang dibawa oleh PAS perlu diperluaskan sehingga di luar lingkungan PAS itu sendiri. Demikian dinyatakan oleh Dr. Muhaimin Sulam semasa menyampaikan ceramah di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan, Kg. Padang Tembak dekat sini.
Menurut beliau, biarlah pihak UMNO mengisi jawatan jawatankuasa masjid, apa yang penting ialah ahli-ahli PAS mengimarahkan masjid tersebut. Malah, sepatutnya peranan dan semangat masjid tersebut perlu di bawa ke padang-padang bola dan kedai-kedai kopi.
"Sudah sampai masanya pemikiran melihat berdakwah tempatnya hanya di masjid diubah. Kita imarahkan padang bola dan kedai kopi sebagaimana kita mengimarah masjid melalui tazkirah kepada masyarakat. Kita perlu ingat bahawa cara berfikir orang di luar sana berbeza dengan kita, oleh itu kita perlu bertindak keluar dari kelompok kita untuk berjumpa mad 'u untuk memahami mereka yang dahagakan bimbingan," tambah beliau lagi.
Beliau yang baru kembali dari luar negara setelah tamat pengajian pHD turut berkata bahawa ahli-ahli UMNO perlu dilihat sebagai sasaran dakwah kita dan mereka ini mungkin menjadi pengundi kita satu masa nanti.
"Keluarlah dari kelompok kita (cara berfikir dan tindakan) kerana kekuatan sebenar kita bukanlah dalam lingkungan kita saja tetapi kekuatan kita terserlah apabila kita berada di luar kelompok iaitu masyarakat mula menerima dakwah dan politik kita."
Selain Dr. Muhaimin, ADUN Hulu Kelang YB Saari Sungib turut diundang menyampaikan ceramah pada malam tersebut.
intanhijau.blogspot.com
0 ulasan:
Catat Ulasan