KERTAS UNDI TAK ADA LOGO PARTI..? / کرتس اوندي تق اد لوݢو ڤرتي..؟
>> 04 November 2010
Khamis, 04 November 2010 16:00
GUA MUSANG, 4 Nov - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa agar meminta maaf kepada pengundi ekoran kes tiada logo parti pada kertas undi.
Perkara demikian ditegaskan Pengarah Jentera Operasi PAS, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman pada satu sidang media di Pejabat Operasi PAS tengah hari ini.
"Sepatutnya SPR kena minta maaf kepada pengundi Galas atas kesilapan teknikal yang berlaku kerana ia boleh menjejaskan keputusan pengundian," katanya kepada pemberita.
Dalam maklumat yang diperolehi pihaknya, terdapat tiga kes yang berkaitan dengan masalah ketiadaan logo atau lambang parti politik yang bertanding pada kertas undi.Salah satu daripada kes tersebut berlaku kepada isteri calon PAS, Zainab Jalar yang membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Kampung Baru pada pagi tadi.
Malah dalam satu lagi kes yang lain, terdapat logo BN sahaja yang dicetak pada kertas undi tersebut.
"Ini bukan kesilapan para pengundi atau petugas tetapi ia menunjukkan kelemahan daripada pihak SPR sendiri.
"Jika sekiranya pihak SPR enggan memohon maaf ia jelas membuktikan kesombongan mereka terhadap pengundi kerana kesilapan ini secara terang datang daripada pengurusan SPR," ujarnya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan pula memaklumkan buat masa ini terdapat tiga kes telah dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Ketiga-tiga mereka telah membuat laporan polis setelah selesai mengundi di tempat pengundian masing-masing atas kes yang sama," katanya.
Tegasnya, kes-kes yang dilaporkan sangat serius memandangkan terdapat kemungkinan terdapat lagi kes yang sama berlaku namun pengundi yang mengalaminya berasa keberatan untuk melaporkannya kepada pihak polis.
"Apa yang lebih membimbangkan adalah pengundi yang tidak boleh membaca, kerana mereka akan meneka nama calon dan parti yang hendak dipilih pada kertas tersebut," ujarnya.
Apa yang menimbulkan syak pada PAS adalah undi yang berkenaan boleh dianggap sebagai undi rosak yang sekaligus menjejaskan keputusan keseluruhan pengundian pada kali ini.
Buat masa ini tindakan terdekat yang sedang diambil pihak PAS ujarnya, adalah meminta pihak agen tempat mengundi dan agen tempat mengira undi untuk mengambil perhatian terhadap kes tersebut.
"Kita telah mengambil tindakan untuk meminta agen kita untuk memastikan undi-undi yang terbabit turut dikira dalam proses pengiraan undi nanti.
Takiyuddin yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata beliau sangsi dengan kes yang berlaku dan meminta agar siasatan dijalankan dengan teliti.
Takiyuddin yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata beliau sangsi dengan kes yang berlaku dan meminta agar siasatan dijalankan dengan teliti.
"Saya tidak pasti sama ada ianya dibuat dengan sengaja atau tidak, ia terpulang kepada intepretasi masing-masing," katanya lagi.
Sementara itu, wakil pasukan Peguam PAS, Hisyam fauzi menyatakan kebimbangan terhadap kertas undi berkenaan yang kemungkinan ditolak dan akan dikategorikan sebagai undi rosak.
"Jika keadaan tersebut berlaku, ia menunjukkan satu ketidak adilan dan kezaliman kepada para pengundi khususnya pengundi yang terlibat mendapat kertas undi yang tersebut.
0 ulasan:
Catat Ulasan