SENTIASA BERFIKIR DAN BEKERJA DALAM PERJUANGAN - USTAZ ZAWAWI / برفيکير دان بکرجا دمي ڤرجواڠن اسلام - استاذ زواوي
>> 11 November 2010
TELUK INTAN, 10 November - Para ahli PAS perlu sentiasa mengambil iktibar dari sirah para Nabi dan Rasul di dalam perjuangan dan dakwah. Pejuang agama perlu menjadikan perjuangan para Nabi dan Rasul sebagai kayu ukur perjuangan mereka. Demikian dinyatakan oleh Ustaz Zawawi Hassan, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS (DPP) Perak di dalam Program Liqa Fikri PAS Kawasan Teluk Intan. Beliau telah dijemput sebagai naqib jemputan bagi liqa bulan November.
"Setakat manakah cabaran dan cubaan yang kita terima di sepanjang perjuangan dakwah kita ini ? Para Nabi dan Rasul berjuang siang dan malam. Sentiasa berfikir dan bekerja demi dakwah sepanjang masa. Mereka sentiasa dicemuh, dibenci, difitnah dan pelbagai lagi. Kadangkala, hasil dakwah mereka tidak berbaloi dengan apa yang mereka lakukan," jelas beliau.
"Perjuangan suci ini, selagi tidak diuji tidak akan dapat kemanisan dalam perjuangan itu. Elakkan diri daripada sentiasa berada di dalam zon selesa dan zon selamat akibat keengganan kita berhadapan dengan cabaran ummat."
Pengisian liqa kali ini yang penuh dengan motivasi telah menarik perhatian para hadirin dalam kalangan para pimpinan PAS kawasan, cawangan dan ahli-ahli.
Akhirnya, beliau meminta para ahli PAS agar sentiasa berjiwa jemaah dalam apa jua tindakan. Mereka juga perlu mempunyai sikap tahan diuji agar perjuangan sampai ke tahap paling tinggi dalam usaha mendaulat dan menegakkan syariat Allah di muka bumi ini.
Turut hadir di dalam program bulanan ini ialah YDP PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik, ADUN Changkat Jong YB Hj. Mohd. Anuar Sudin, pimpinan PAS kawasan, Dewan Pemuda kawasan, Dewan Muslimat kawasan, cawangan-cawangan serta para ahli PAS.
intanhijau.blogspot.com
intanhijau.blogspot.com
0 ulasan:
Catat Ulasan