SEDIKIT INFO TENTANG TAHUN BARU CINA
>> 12 Februari 2010
MUSIM untuk melafazkan kata-kata salam seperti ‘Kung Hey Fatt Choy’ (Selamat Tahun Baru Cina) dan ‘Wan Shi Ru Yi’ (segala urusan berjalan lancar) kini kembali lagi. Ke mana sahaja anda pergi, kata-kata salam berkenaan kian bergema. Ini bermakna, bermulalah sambutan Tahun Baru Cina yang akan berlangsung selama 15 hari.
Sungguhpun proses globalisasi dan pembangunan pesat kini melanda kebanyakan negara di Asia, namun kehadiran globalisasi tidak menghalang masyarakat Cina di seluruh dunia baik di Malaysia, Taiwan, Singapura mahupun Tanah Besar China merayakan kedatangan tahun babi dengan penuh tradisi.
Sesungguhnya, globalisasi telah banyak merobah gaya kehidupan masyarakat setempat namun hakikatnya bagi mereka, semangat dan tradisi Tahun Baru Cina perlu dipertahankan kerana tradisi inilah yang membentuk keperibadian mereka.
Mungkin antara kita yang sudah mengenali erti sebenar kata-kata salam seperti ‘Kung Hey Fatt Choy’ ataupun kenapa Tahun Baru Cina dirayakan, akan tetapi, berapa ramaikah antara kita khususnya rakan-rakan dari masyarakat Melayu dan India yang benar-benar mengetahui selok-belok sambutan ini, signifikan dan pantang-larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina?
Untuk pengetahuan umum, sambutan Tahun Baru Cina ditetapkan menerusi penggunaan kalender bulan. Kalender bulan dilaporkan diperkenalkan seawal tahun 2600 Sebelum Masihi apabila maharaja China ketika itu, Shi Huang Ti memperkenalkan kitaran pertama zodiak.
Dalam kitaran zodiak itu, tahun-tahun disusun dalam satu kitaran utama selama 60 tahun merangkumi lima pusingan dan setiap tahun berkenaan akan dinamakan selepas 12 ekor haiwan. Kesemua 12 haiwan yang dimaksudkan ialah tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi. Proses terbabit akan diulang berkali-kali hinggalah kitaran tahun melengkapkan pusingannya.
Persoalan di sini ialah mengapa hanya 12 haiwan dipilih dan tidak lebih daripada itu? Mengikut legenda Cina, Buddha telah memanggil semua haiwan di muka bumi ini untuk bertemu sebelum beliau meninggalkan bumi.
Namun bilangan haiwan yang hadir untuk bertemu dengan Buddha hanyalah 12 haiwan. Terhutang budi dengan haiwan-haiwan yang hadir, maka Buddha telah menetapkan setiap tahun dengan 12 ekor haiwan mengikut turutan ketibaan mereka.
Disebabkan kalender bulan pada sesuatu tahun kadang-kala mempunyai 29 atau 30 hari setiap bulan, maka untuk kita menentukan tarikh tetap untuk sambutan Tahun Baru Cina dari tahun ke tahun adalah sukar. Jika 2007, Tahun Baru Cina jatuh pada hari ini, Tahun Baru Cina pada 2008 pula jatuh pada 7 Februari manakala bagi 2009 pula, masyarakat Cina menyambut kedatangan tahun lembu pada 26 Januari. Bagi tahun 2010 pula, mereka menyambut tahun harimau.
Bagi masyarakat Cina, sambutan Tahun Baru Cina ialah masa untuk memperbaharui tenaga, harapan dan impian mereka dan sekiranya tahun sebelumnya tidak berjalan seperti yang dirancang, maka kedatangan tahun baru ini diharap akan membawa perubahan yang lebih positif.
Lazimnya, persiapan untuk menyambut ketibaan tahun baru bermula sebulan lebih awal tetapi dalam konteks kehidupan masyarakat Cina di Malaysia, mereka lebih gemar membuat persiapan di saat-saat akhir. Proses persiapan itu antara lain merangkumi pembelian baju-baju baru, barangan hiasan dan tidak ketinggalan, bahan-bahan makanan.
Sempena ketibaan tahun baru juga, sudah menjadi kemestian untuk pemilik rumah mengemas dan menghiasi kediaman mereka dengan tanglung merah, sepanduk, mercun plastik, tulisan kaligrafi yang memaparkan tema kegembiraan, kemakmuran dan kekayaan serta kad-kad ucapan yang dikirim oleh rakan taulan.
Benda-benda yang dilihat boleh menimbulkan nasib malang seperti penyapu, berus, tong sampah dan penyodok disimpan. Ini bererti, segala aktiviti menyapu tidak boleh dijalankan pada hari pertama Tahun Baru Cina kerana bimbang tuah itu akan hilang begitu sahaja.
Sekali pun aktiviti menyapu dilakukan, ia perlulah terhad di dalam rumah di mana debu dan sampah-sarap hanya akan disapu dan diletakkan ke bahagian tengah rumah sebelum dialihkan ke bahagian penjuru. Biasanya, longgokan sampah hanya boleh dibuang dua atau tiga hari selepas Tahun Baru Cina.
Apa pun, acara yang dilihat paling penting buat masyarakat Cina pada malam sebelum Tahun Baru Cina ialah makan besar. Bagi masyarakat Cina, makan besar cukup signifikan kerana semua anggota keluarga baik yang jauh mahupun dekat, akan kembali untuk mengeratkan talian perhubungan sesama keluarga di samping menikmati juadah-juadah lazat seperti ayam, ikan, itik, sup sirip ikan yu dan sayur-sayuran kemakmuran (prosperity vegetables).
Selesai sudah menjamah makanan, kesemua anggota keluarga digalakkan untuk berjaga sehingga awal pagi sebagai mematuhi ‘shou sui’ yakni satu amalan yang dipercayai mampu membawa panjang umur kepada kedua ibu bapa.
Hari pertama Tahun Baru Cina akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengalu-alukan kedatangan tuhan-tuhan dari syurga dan bumi. Pada hari ini, ramai yang tidak makan daging kerana dipercayai ia menjamin kehidupan mereka sentiasa gembira dan berkekalan. Hari pertama sambutan turut digunakan oleh masyarakat Cina untuk melakukan kunjungan terhadap anggota paling tua dalam keluarga.
Pada hari kedua pula, kebiasaannya menantu perempuan akan kembali ke kampung halaman mereka untuk menziarah kedua ibu bapanya. Kunjungan ini cukup bermakna kerana sering kali anak perempuan yang telah berkahwin tidak mempunyai peluang untuk menziarah keluarganya sendiri. Sepanjang hari kedua, masyarakat Cina turut menyedekahkan doa kepada nenek moyang dan tuhan-tuhan sebagai tanda terima kasih di atas berkat yang diterima selama ini.
Jika hari kedua menantu perempuan melakukan kunjungan ke kampung halamannya, maka hari ketiga dan keempat pula ialah hari di mana menantu lelaki pula memberikan penghormatan kepada ibu bapa mentua. Sepanjang tempoh ini juga, kebanyakan perniagaan yang dimiliki oleh orang Cina masih ditutup. Operasi perniagaan hanya akan dibuka semula pada hari kelima atau keenam.
Berbanding dengan hari-hari sebelumnya, sambutan Tahun Baru Cina pada hari kelima agak berlainan kerana kebanyakan anggota keluarga akan berada di rumah untuk menyambut kedatangan Tuhan Kekayaan. Dikenali sebagai ‘Po Woo,’ tiada aktiviti ziarah-menziarahi rakan mahupun keluarga dijalankan kerana dikatakan boleh membawa nasib malang kepada kedua-dua pihak. Hanya pada hari keenam, barulah aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan.
Bagi masyarakat Cina berketurunan Hokkien pula, hari kesembilan dalam Tahun Baru Cina dilihat sebagai hari paling bermakna bagi mereka. Pada malam sebelumnya, masyarakat Hokkien menyedekahkan doa kepada Maharaja Jed dengan menawarkan barangan seperti tebu. Menurut sejarah lisan, tebu menjadi barangan penting dalam pemujaan Maharaja Jed kerana dipercayai, tebulah yang melindungi masyarakat Hokkien daripada kemungkinan dihapuskan dari muka bumi ini oleh sebuah kumpulan dialek di China.
Sambutan Tahun Baru Cina akan diakhiri pada hari ke-15 dengan perayaan Chap Goh Meh yang mana hari tersebut akan diperingati dengan memakan ‘tangyuan’ (sweet rice ball dumpling soup). Namun bergantung kepada kawasan-kawasan tertentu dan dalam konteks masyarakat Cina, Chap Goh Meh juga dirayakan sebagai festival Tanglung ataupun Hari Kekasih.
Antara sifat positif tahun harima ialah berdikari, berani, yakin, dinamik, gigih, bertenaga, cerdas, sanggup berkorban, setia, mudah disayangi, baik hati, idealistik, dan serba boleh. Sifat negatif pula ialah ada angin, cuai, gopoh, mementingkan diri, tidak sabar, suka mengikut gerak hati, terlalu yakin dengan pendapat diri, degil, terburu-buru, geram, suka bergaduh, ingkar
Sambutan Tahun Baru Cina juga tidak lengkap tanpa pemberian angpau, mercun dan tarian singa. Sebutan angpau yang berasal dari loghat Hokkien merujuk kepada sampul merah. Hanya pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga akan memberikan angpau kepada mereka yang belum berkahwin. Penggunaan mercun dalam Tahun Baru Cina juga signifikan kerana bunyi bising yang dihasilkan dan warna merah pada mercun berupaya menakutkan seekor raksasa dipanggil ‘Nian’ yakni sejenis raksasa yang memakan manusia.
Sesungguhnya, kedatangan Tahun Baru Cina hari ini membuka peluang keemasan kepada setiap orang bagi merenung kembali dan menilai segala kesilapan yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu.
Kepada semua masyarakat Cina di Malaysia, penulis intanhijau.blogspot.com mengambil kesempatan untuk mengucapkan Kong Hey Fatt Choy. Moga-moga kedatangan tahun harimau ini akan membawa lebih banyak kemakmuran bukan sahaja kepada penduduk bahkan juga kepada negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan