KERAJAAN BARU PERAK 'HARAM' - MURSYIDUL AM
>> 06 Februari 2009
KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) - Mursyidul Am PAS menyifatkan kerajaan baru Perak yang bakal diketuai Dato' Dr Zambry Abdul Kadir (BN - Pangkor) sebagai sebuah kerajaan haram.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apa yang dimaksudkan haram kerana Umno 'menculik' wakil rakyat Pakatan Rakyat sehingga mereka hilang beberapa hari tanpa dapat dikesan.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apa yang dimaksudkan haram kerana Umno 'menculik' wakil rakyat Pakatan Rakyat sehingga mereka hilang beberapa hari tanpa dapat dikesan.
"Kemudian apabila keluar dari persembunyian tiba-tiba mereka menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional. Tentunya mereka diberi sesuatu sehingga sanggup meninggalkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
"Kemungkinan ada unsur rasuah bagi menarik Adun terbabit tidak dapat ditolak. Apabila kerajaan baru cuba dibentuk dengan cara seperti itu tidakkah ia wajar dinamakan sebagai sebuah kerajaan yang haram," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Petang ini Zambry dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Manakala barisan Exco kerajaan negeri yang baru pula dijadual dilantik 10 Feb ini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan yang dilakukan Umno merampas kerajaan yang dipilih rakyat Perak jelas membelakangi tamadun manusia. Oleh itu beliau mempertahankan tindakan Dato' Seri Nizar Jamaluddin memohon kepada sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi memberi ruang rakyat menyelesaikan krisis yang berlaku sekarang.
"Saya menyokong penuh usaha yang dibuat kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Tidak ada jalan lain lagi untuk keluar daripada kemelut tersebut melainkan diadakan pilihan raya semula.
"Saya juga menafikan dakwaan sebuah stesen televisyen yang mengatakan saya menyokong tindakan istana Perak memecat Nizar. Kenyataan saya semalam sengaja diputar belit," ujarnya.
Ditanya tindakan Sultan Perak enggan membubarkan Dun dan tetap mahu melantik Menteri Besar baru daripada BN, katanya hak itu terpulang kepada pihak terbabit. Bagaimanapun katanya, isu berkenaan tidak akan selesai dengan mudah tanpa diberi semula mandat kepada rakyat bagi menentukan kerajaan mana yang layak mentadbir.
Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat yakin kemelut yang melanda Perak sekarang tidak ada penghujungnya tanpa diserah semula mandat kepada rakyat.
Sementara itu, difahamkan tokoh agama ternama di Perak juga menyifatkan kerajaan baru yang diketuai Umno sebagai tidak sah dan haram. - mj _ (Harakahdaily)
0 ulasan:
Catat Ulasan