KERAJAAN BN PERAK KERAJAAN HARAM - MURSYIDUL AM
>> 06 Februari 2009
KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) - Masih ada peluang. Tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang beralih angin memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) perlu membetulkan kesilapan mereka dengan meletak jawatan.
Tanpa tindakan itu Jamaluddin Mohd Radzi, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Hee Yit Foong akan dicatat pada sejarah sebagai orang yang bertanggungjawab meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat pada Mac 2008. Apa yang pasti jiwa mereka tidak tenteram lagi selepas ini, biar pun bergelumang wang ringgit sebagai ganjaran meninggalkan Pakatan.
Tanpa tindakan itu Jamaluddin Mohd Radzi, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Hee Yit Foong akan dicatat pada sejarah sebagai orang yang bertanggungjawab meruntuhkan kerajaan pilihan rakyat pada Mac 2008. Apa yang pasti jiwa mereka tidak tenteram lagi selepas ini, biar pun bergelumang wang ringgit sebagai ganjaran meninggalkan Pakatan.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin tindakan mereka sebelum ini kerana terpengaruh dengan perancangan rapi dilakukan Umno bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat.
"Lebih baik mereka meletak jawatan Adun. Tindakan itu wajar kalau mereka benar-benar manusia dan bukannya terdiri daripada golongan lembu pedati. Mereka masih mempunyai kulit muka dan maruah.
"Manusia yang mempunyai pendirian, tidak pedulikan kepada ugutan. Hanya lembu pedati saja yang takutkan kepada cemeti. Adun terbabit hendaklah meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan di Perak," katanya di sini, hari ini.
Beliau meluahkan pandangan itu pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan 35 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kaum Tionghua sempena majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Perniagaan Cina.
Baru-baru ini, ketiga-ketiga Adun dari KeADILan dan DAP itu menghilangkan diri sehingga gagal dihubungi. Mereka hanya muncul apabila Speaker Dun Perak mengumumkan kerusi mereka kosong bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan baru di Perak yang dibentuk Barisan Nasional (BN) hari ini amat diragui kerana Adun yang menyokongnya telah dikurung dan diugut.
"Sama ada kena ugutan atau rasuah, tetap kerajaan yang dibentuk itu haram.
"Ini kerana mereka membuat keputusan menukar parti setelah hilang kira-kira seminggu. Tak tahu di mana berada, tiba-tiba muncul serentak membuat pengakuan keluar parti.
"Hal ini menampakkan sama ada Adun-Adun itu kena rasuah atau diugut," katanya.
Menurutnya tindakan tersebut dirancang begitu rapi Umno yang disifatkan sebagai ala mafia. Oleh itu beliau menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melakukan siasatan ke atas mereka kerana sebelum ini ada laporan menyebut ada rasuah sehingga RM50 juta melibatkan Adun terbabit.
Terdahulu, pada kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini, beliau berkata amalan demokrasi atau nasionalis yang diamalkan Umno sekarang semakin sesat.
"Dalam kes di Perak sekarang diibaratkan gadis yang keluar rumah, kemudian pulang dengan membawa anak tanpa diketahui di mana pernikahannya, maka anak yang dibawa pulang itu anak haram.
"Samalah dengan kerajaan yang dibentuk di Perak hari ini adalah kerajaan haram," tambahnya. - mj _ (HarakahDaily)
0 ulasan:
Catat Ulasan