PANDANGAN PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT TENTANG ISU ELIZABETH WONG
>> 16 Februari 2009
Menteri besar Selangor memuji kepemimpinan Elizabeth dengan menyifatkannya sebagai seorang wakil rakyat dan exco kerajaan negeri yang "tekun dan bijaksana.
"Maka kini saya menaruh keyakinan bahawa beliau masih boleh meneruskan tugas dan tanggungjawab tersebut dengan cekap dan berkesan," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, beliau bersama barisan exconya akan tetap memberikan sokongan kepada Elizabeth untuk berdepan keadaan yang getir ini.
"Saya percaya pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab pasti akan menggunakan isu ini dalam usaha untuk tujuan politik tertentu," katanya.
"Namun, saya berharap agar orang awam tidak terus membuat keputusan sebelum pihak polis mengeluarkan hasil penyiasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Elizabeth."
Ahli jawatankuasa PAS Dr Lo' Lo Mohamed Ghazali berkata, tindakan menyebarkan gambar bogel exco Selangor itu sebagai tindakan mereka yang tidak bermaruah.
"Orang yang menyebarkan gambar tersebut lebih teruk daripada pelacur. Kita tidak boleh melayan tindakan ini," katanya, juga ahli parlimen Titiwangsa.
Menurutnya, Islam tidak membenarkan kegiatan intai-mengintai terhadap seseorang, apatah lagi untuk mengaibkan orang lain.
"Tindakan ini sangat memualkan. Saya kesal dengan tindakan media yang merosakkan masyarakat dengan menyebarkan gambar bogel orang.
"Gambar siapa lagi yang akan disebarkan selepas ini, seolah-olah tiada kerja lain."
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berharap keadilan harus diberikan kepada Elizabeth seperti kes pencerobohan ruang peribadi terhadap selebriti Nasha Aziz beberapa tahun lalu. Mengulas kenyataan ketua pembangkang di Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang menggesa wakil PKR itu berundur, Mahfuz berkata:
"Gambar itu bukan bersama pasangan. Keadaan itu berbeza dengan apa yang berlaku kepada (Datuk Seri) Dr Chua Soi Lek. Perkara ini (pencerobohan) sangat berbahaya dan boleh berlaku di mana-mana sahaja, seperti hotel." Saya anggap (nasib yang dialami Elizabeth) ini sebagai politik mafia. Saya tidak tengok gambar itu, tetapi saya difahamkan beliau bersendirian," tambahnya lagi.
"BN terlalu lemah sekarang dan tidak ada faktor penarik. Oleh itu diwujudkan faktor sebegitu dengan melakukan serangan peribadi (terhadap Elizabeth)."
Elizabeth menjadi sasaran kedua berkaitan dakwaan seks selepas serangan terhadap seorang wakil rakyat PAS, yang juga exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali yang didakwa ditangkap basah di sebuah hotel sekitar Pelabuhan Klang.
Dr Halimah menafikannya dan membuat aduan polis hujung bulan lepas terhadap sebuah laman web pro-Umno berhubung penyiaran tuduhan tersebut. (malaysiakini)
0 ulasan:
Catat Ulasan