FAIRUS LETAK JAWATAN TIMBALAN KM PP
>> 21 Mac 2009
[DIKEMAS KINI, 6 PETANG] PETALING JAYA: Selepas spekulasi sejak Disember lalu, Mohamad Fairus Khairuddin disahkan telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan Exco negeri di sebalik siasatan isu dakwaan rasuah aktiviti kuari.
Keputusan itu berkuat kusa 8 April ini - sehari selepas tiga pilihan raya kecil serentak. Bagaimanapun beliau akan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti. Perkara itu disahkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng tengah hari tadi.
Fairus mengambil keputusan tersebut di sebalik siasatan berhubung isu rasuah berkaitan dengan aktiviti kuari di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, dalam surat letak jawatan yang dikemukakan hari ini ada disebutkan bahawa Fairus mahu melanjutkan pengajian ijazah lanjutan.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, Fairus telah meminta cuti untuk memikirkan kedudukannya dalam kerajaan selepas mendapat tawaran belajar.
"Dia telah pilih untuk teruskan pelajaran dan hal itu menyukarkan beliau untuk teruskan tugas sebagai Exco dan Timbalan Ketua Menteri," katanya.
Difahamkan beliau telah menerima tawaran untuk belajar di luar negara.
Zahrain berkata, Fairus telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengemukakan surat letak jawatan pagi ini. Fairus dikatakan tidak menghubungi Zahrain yang menggantikan beliau sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.
"Datuk Seri Anwar juga ada menghubungi saya dan memaklumkan mengenai perkara ini," kata beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.
Ketika ditanya mengenai pengganti, Zahrain menjelaskan, pucuk kepimpinan akan membincangkan soal tersebut selepas selesainya tiga pilihan raya kecil serentak 7 April ini.
"Tumpuan parti (PKR) sekarang ialah pilihan raya kecil dan ia akan dibincangkan selepas itu," katanya sambil menambah, Ketua Menteri Pulau Pinang akan memangku jawatankuasa yang dipegang Fairus sebelum ini.
Apabila ditanya sama ada Fairus juga akan mengosongkan kerusi ADUN Penanti, Zahrain memberitahu: "Tidak... itu cuma spekulasi sahaja."
Fairus dilantik Timbalan Ketua Menteri selepas pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu. (mstar online)
0 ulasan:
Catat Ulasan