OKU TERANIAYA
>> 06 Mac 2009
6.3.2009 - Tugas sebagai seorang Ahli Majlis adalah tidak semudah yang disangka. Kadang-kadang peranannya adalah sama seperti seorang wakil rakyat. Itupun bergantung individu yang memikul tanggungjawab itu.
Bagi seorang AJK Kelab Penyokong PAS Teluk Intan, Hacharan Singh, tugas-tugas sebagai Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan telah cuba dilaksanakannya dengan penuh amanah. Apatah lagi, pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis adalah di atas kuota PAS Teluk Intan, maka beliau berpendapat peranan beliau ini adalah sebagai mewakili PAS.
Oleh kerana itu, segala masalah yang diajukan kepada beliau akan cuba diselesaikan sebaik mungkin. Pejabat-pejabat kerajaan menjadi tempat biasa bagi beliau bagi mendapatkan bantuan untuk masyarakat yang meminta bantuan.
Baru-baru ini beliau telah menemui seorang warga OKU yang mendakwa bahawa bantuan sara hidup dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dihentikan. Muruthy, 47, yang kudung kaki kanan selepas terbabit kemalangan jalan raya 20 tahun lalu mengalami kepayahan hidup sejak bantuan RM300 telah dihentikan oleh JKM.
Saudara Hacharan Singh bersama Encik Muruthy.
Menurut Hacharan Singh, OKU ini asalnya tinggal di rumah sendiri di Taman Cicely. Tetapi, beberapa bulan lepas, beliau telah tinggal di rumah anaknya di Batu 4, Jalan Changkat Jong. Oleh kerana OKU ini telah tinggal di rumah anaknya, pihak JKM telah memberhentikan bantuan sara hidup tersebut. Ini adalah berdasarkan surat yang telah dihantar kepadanya.
Beliau berpendapat, OKU ini tidak patut diberhentikan bantuan kerana Encik Muruthy adalah OKU yang bersatus kecacatan fizikal seumur hidup (kudung kaki kanan) dan berhak menerima bantuan walau apapun yang berlaku.
"Sepatutnya, pihak JKM berjumpa dengan Encik Muruthy bertanya tentang masalah ini. Bukan hanya menghantar surat dan terus memberhentikan bantuan sara hidup. Ini satu penganiayaan kepada OKU," kata beliau lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan