PANGLIMA BUKIT GANTANG MENGGEGAR PARLIMEN..!
>> 15 Jun 2009
kemaskini 2.09pm Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencetuskan drama lagi sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai anggota baru parlimen bagi Bukit Gantang pagi ini - melaungkan "hidup rakyat, bubar DUN". Dengan tujuan menarik perhatian ramai berhubung perjuangannya untuk menuntut jawatan menteri besar Perak, yang dirampas BN dalam pertukaran kerajaan pada Februari lalu, laungannya itu disambut pula oleh anggota-anggota Pakatan Rakyat dalam dewan tersebut.
Akibatnya, menteri besar Pakatan Rakyat itu diperintah meninggalkan Dewan Rakyat bersama enam lagi ahli parlimen pembangkang. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan berbuat demikian atas dakwaan "berkelakuan kasar". Mereka juga didakwa "melanggar etika berpakaian" apabila mengenakan kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan. Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.
Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Hatta Ramali (PAS-Kuala Krai), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai). Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.
Mohammad Nizar memenangi kerusi parlimen tersebut dalam satu pilihanraya kecil 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.(malaysiakini)
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diarah keluar daripada Dewan Rakyat tidak sampai lima minit selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran tindakan Nizar melaungkan slogan "bubar Dewan Undangan Negeri" sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan ingkar arahan supaya memakai lilitan "BUBAR DUN" Perak.
Pandikar ketika ditemui wartawan sebentar tadi berkata, mereka diarah keluar kerana berpakaian tidak menghormati tatasusila Parlimen dan menimbulkan kekecohan dengan ingkar arahan.
Nizar dan enam wakil rakyat terbabit tidak dibenarkan masuk Dewan Rakyat selama dua hari sehingga esok. Wakil rakyat yang lain ialah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) serta N. Gobalakrishnan (Padang Serai).
Tiga yang lain ialah wakil Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Dr. Mohd. Hatta Ramli (Kuala Kerai), Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor). Mahfuz pula berhujah dengan Speaker bahawa beliau hanya mengenakan lilitan di lengan dan harus dibenarkan. Beliau kemudian meninggalkan Dewan Rakyat.
Beberapa wakil berkenaan cuba memasuki semula Dewan Rakyat tetapi diarah keluar Speaker dan Timbalan Speaker - sehingga sesi ditangguhkan tengah hari tadi - atas alasan mereka terikat dengan hukuman selama dua hari itu.
Ketika ditanya komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penggunaan lilitan dibenarkan di Parlimen negara-negara lain, Pandikar menegaskan, ini adalah Parlimen Malaysia dan harus patuhi peraturan ditetapkan.
Oleh itu katanya, jika hendak berbuat demikian mereka boleh jadi Ahli Parlimen negara berkenaan. Berbanding lazimnya, ekoran insiden itu, Pandikar yang ternyata kecewa tidak menyampaikan ucapan mengalu-alukan kedatangan wakil rakyat baru. Anwar pada sidang media berkata, Parlimen harus membenarkan wakil rakyat menunjukkan protes mereka termasuk menggunakan lilitan.
"Parlimen patut benarkan, tidak harus diambil tindakan tegas," katanya di lobi Parlimen.
Sehubungan itu jelas beliau, Pakatan akan menulis surat kepada Speaker agar menggugurkan hukuman ke atas kesemua tujuh wakil rakyat berkenaan.
Terdahulu kira-kira pukul 10.03 pagi tadi, Nizar mengenakan lilitan di kepalanya sejurus mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Bukit Gantang. Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Speaker mengeluarkan arahan itu dan turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.
Nizar terpaksa menanggalkan lilitannya sebelum kembali ke tempat duduk beliau di blok "F".
Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut. Ada wakil rakyat yang mengikat pada kepala dan ada yang memakai pada lengan masing-masing.
Malah Dewan Rakyat juga mengarahkan sekumpulan tetamu yang hadir, dipercayai penyokong Pakatan Rakyat dari Perak yang turut memakai lilitan "BUBAR DUN", keluar.
Insiden itu menyebabkan sesi soal jawab soalan lisan tertangguh 15 minit. (mstar online)
1 ulasan:
Tahniah Nizar dan rakan2, buktikan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat, patutnya beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Perak..TOLAK KERAJAAN PERPADUAN.. !!
Catat Ulasan