KES TEOH : DESAK SPRM DISIASAT; 7 DITAHAN
>> 17 Julai 2009
Polis bertindak meleraikan 300 orang yang berhimpun di luar bangunan Hotel Concorde di Shah Alam menuntut supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disiasat ekoran kematian seorang pembantu exco kerajaan Selangor.
Ketika mereka melaung "siasat, siasat, siasat", pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dijadual menghantar memorandum bantahan kepada SPRM.
Teoh Beng Hock, 30, terbunuh, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM itu di mana dia disoal siasat kelmarin berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN.
Pemimpin Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba jam 10 pagi dan menyampai ucapan ringkas kepada orang ramai di situ sebelum masuk ke bangunan hotel tersebut.Turut bersama Anwar ialah pemimpin tinggi Pakatan termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.Jerit 'polis ganas'Kira-kira 10 minit kemudian, anggota polis pencegah rusuhan mula bertindak meleraikan perhimpunan tersebut, mengakibatkan berlaku pergelutan di situ.Tujuh orang ditangkap, termasuk ahli parlimen Kapar, S Manikavasagam dan exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar.
Turut ditangkap: Lu Chuan Boon (kanan), pembantu exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong yang diheret polis sejauh kira-kira 30 meter apabila enggan beredar dan bertindak duduk di situ.
Bagaimanapun, dia pengsan ketika diseret dan polis kemudian mengangkatnya masuk ke dalam bangunan SPRM.
ADUN Rawang, Gan Pei Nee (kiri) dipukul di kepalanya ketika cuba mambantu Lu.
Orang ramai menjerit "polis ganas" ketika dia dibawa dari situ.
Pada jam 11 pagi, kebanyakan orang ramai yang menyertai perhimpunan itu telah bersurai dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar turut berada di situ untuk memantau keadaan.
Bagaimanapun, kira-kira 100 orang berhimpun semula di belakang bangunan pejabat SPRM.
Manakala anggota polis pencegah rusuhan membentuk benteng mengawal di bahagian depan bangunan tersebut.
Pada kira-kira jam 11.15 pagi, Anwar muncul dari bangunan SPRM bersama Kit Siang, Guan Eng, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.Anwar memberitahu pemberita bahawa mereka menemui Pengarah SPRM Selangor, Jaffar Mahad.
Sambil menyatakan kesedihan mereka terhadap kematian Teo itu, Anwar berkata wujud keadaan misteri yang memerlukan tindakan segera diambil, termasuk menyiasat cara SPRM menjalankan soal siasatnya.
Sehubungan itu, Anwar mendesak supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat kejadian tersebut.
Sementara itu, Khalid berkata, sebarang soal siasat oleh SPRM berhubung dakwaan berlaku salah guna peruntukan DUN, kini hendaklah dijalankan di pejabat setiausaha kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan Selangor akan membiayai kos pengkebumian Teo.
Anwar juga mengumumkan bahawa pemimpin Pakatan akan bermesyuarat di ibu pejabat PAS malam ini, untuk membincangkan tindakan seterusnya.
Anwar berkata, satu perhimpunan dirancang diadakan di Stadium Kelana Jaya jam 4.30 petang Ahad ini.
(malaysiakini)
0 ulasan:
Catat Ulasan