PPSMI : SEPATUTNYA DIMANSUHKAN SERTA MERTA - YB ANUAR SUDIN
>> 11 Julai 2009
TELUK INTAN - Keputusan kerajaan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memang dinantikan banyak pihak dan menganggap keputusan itu adalah tepat.
Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Pas Pusat Kaum India, S Surianarayanan berkata, pemansuhan PPSMI yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, sebenarnya adalah yang dikehendaki oleh pihaknya dan semua pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Beliau berkata, pihaknya dan semua pemimpin PR telah lama berjuang untuk merealisasikan perkara itu kerana memikirkan kepentingan rakyat dan bukan untuk menguntungkan sesiapa.
“Kenapa setelah membazirkan wang berbilion ringgit baru kerajaan memutuskan untuk memansuhkannya?, sedangkan kerajaan boleh menjalankan kajian sebelum melaksanakan dasar itu.
“Jika kerajaan membuat kajian menyeluruh mengenai perkara itu, wang yang telah dibazirkan untuk perlaksanaan dasar itu boleh digunakan untuk membantu rakyat dan membela nasib rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Kelab Penyokong Pas Teluk Intan, di sini, semalam.
Beliau berkata, jika tiada protes dan bantahan daripada pelbagai pihak mengenai perlaksanaan itu, kerajaan tidak akan sedar bahawa mereka sedang merosakkan institusi pendidikan negara dan masalah ini tidak akan selesai.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Mohd Anuar Sudin pula, keputusan itu sedikit mengecewakan kerana pemansuhan PPSMI tidak berlaku serta merta sebaliknya hanya berkuat kuasa pada 2012. Menurutnya, sepatutnya dasar itu dimansuhkan serta merta kerana perlaksanaannya dibuat tanpa memikirkan kesan baik dan buruk, selain kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap impak daripada perlaksanaan tersebut.
“Alasan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui PPSMI ini adalah sesuatu yang tidak bijak kerana penguasaan bahasa perlu ditingkatkan melalui mata pelajaran itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pengumuman pemansuhan PPSMI yang dibuat ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang sedang giat dijalankan tidak akan mempengaruhi pengundi di sana dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya.
“Isu itu merupakan isu lama yang dituntut oleh PR dan rakyat, tetapi baru kini ditunaikan oleh mereka tetapi perlaksanaannya hanya akan berkuat kuasa tiga tahun lagi,” katanya. (sinaronline)
0 ulasan:
Catat Ulasan