WARGA EMAS KECEWA BANTUAN DITAMATKAN
>> 11 Julai 2009
TELUK INTAN - Seorang warga emas di sini yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Januari lalu kecewa kerana bantuan itu ditamatkan. Wong Beng Hoi, 73, berkata, dia kini hilang sumber pendapatan utama kerana tidak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan JKM untuk menyara keluarganya.
Menurutnya, tindakan itu sebenarnya tidak wajar dan tidak berperikemanusiaan kerana pihak JKM memberikan alasan bahawa anak-anak boleh membantu tanpa menyiasat terlebih dahulu sama ada anaknya membantu atau tidak.
“Saya kini tinggal bersama isteri yang tidak sihat kerana mengalami masalah pundi kencing dan terpaksa memakai lampin setiap hari.
“Kini saya hilang sumber kewangan yang selama ini dapat menampung perbelanjaan harian dan kesihatan kami berdua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di pejabat Kelab Penyokong Pas Teluk Intan di sini, semalam.
Dia berkata, sebelum ini JKM memberikan bantuan sebanyak RM300 kepadanya sekeluarga dan apabila tiada, dia tidak tahu untuk meminta kepada siapa kerana kos untuk membeli lampin isterinya sahaja melebihi RM100 sebulan tidak termasuk ubat lain.
Beng Hoi yang menggunakan alat bantuan kerana peti suaranya rosak berkata, dia memang mempunyai anak tetapi masing-masing berkeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri.
“Saya menggunakan alat bantuan itu sejak lima tahun lalu bagi membolehkannya bertutur dan bernafas selain mempunyai masalah paru-paru,” katanya.
Beng Hoi berkata, dia mengharapkan JKM mempertimbangkan semula keputusan itu dan membuat semakan kembali kerana bantuan itu adalah sumber pendapatan mereka sekeluarga.
“Saya meminta jasa baik pihak berkenaan agar dapat membantu saya yang kini uzur dan tidak mampu bekerja tambahan terpaksa menjaga isteri yang tidak sihat,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Majlis Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Harcharn Singh yang menjaga kebajikan hal ehwal kebajikan sebelum ini mempertikaikan keputusan itu dan akan segera berhubung dengan pihak JKM supaya mempertimbangkan keputusan mereka.
Menurutnya, pihaknya akan membantu mendapatkan bantuan untuk Beng Hoi menyara keluarganya dan jika keadaan mendesak, beliau akan membawa perkara ini ke peringkat atasan untuk di selesaikan. Turut hadir ialah ADUN Changkat Jong, YB Haji Mohd. Anuar Sudin. (sinar harian online)
0 ulasan:
Catat Ulasan