PAS SERU AHLI SERTAI DEMO ANTI- I S A
>> 15 Julai 2009
PAS menyeru ratusan ribu ahlinya agar menyertai demonstrasi besar membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara, awal bulan depan. Tinggal lagi dua minggu sebelum program 1 Ogos itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad juga mengarahkan semua ketua penerangan negeri dan peringkat kawasan menganjurkan ceramah dan mengedar risalah menggalakkan orang ramai menyertai Himpunan MANSUH.
"Sehubungan dengan itu semua ahli PAS diminta untuk hadir memberikan sokongan terhadap perhimpunan ini," katanya hari ini.
"Semua ketua-ketua penerangan negeri dan PAS kawasan diminta mengadakan siri-siri ceramah dan edaran risalah penerangan berhubung kezaliman akta ISA serta mengajak lebih ramai rakyat untuk menghadiri Himpunan ini.
"Dalam kenyataan yang sama, Idris turut mengajak semua NGO dan individu yang prihatin untuk hadir bagi memastikan kerajaan memansuhkan akta kontroversi tersebut "yang sering dijadikan alat politik segelintir pihak berkepentingan untuk menakutkan rakyat."
Kelmarin, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap - dan turut serta dalam - demonstrasi anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang disertai pembangkang dan NGO hak asasi.
"Pemuda Gerakan akan menggerakan sekumpulan ahli (Pemuda) untuk menyokong perhimpunan aman MANSUH pada 1 Ogos ini bersempena ulang tahun ke-49 (pelaksanaan) ISA," kata ketua biro khidmat guaman dan aduan awamnya Andy Yong.
Maklumat berhubung demonstrasi itu boleh diperolehi di blog himpunanmansuhisa.wordpress.com, kain rentang, poster dan risalah di seluruh negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan