ABULLAH ANSARI CALON PR DI BATU SAPI / عبدالله انصارا چالون باتو ساڤي
>> 24 Oktober 2010
Pakatan Rakyat hari mengumumkan pemilihan ketua cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini.
Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berusia 56 tahun itu adalah seorang peguam lulusan Universiti Malaya.
Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pencalonan Ansari itu di satu majlis di Dewan Persatuan Hakka Sandakan petang ini.
Antara yang hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; naib presiden PKR, Azmin Ali; pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh dan pengerusi DAP Sabah, Hiew King Cheu.
Ahli parlimen DAP Lim Kit Siang tidak dapat hadir hari ini kerana tidak sihat.
Kira-kira 2,000 menghadiri majlis tersebut sambil melaungkan "reformasi" selepas pengumuman itu dibuat.
Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan berlaku perpecahan undi di kalangan pembangkang apabila Parti Maju Sabah (SAPP) turut bertanding, Anwar memberitahu Bernama bahawa soal itu tidak timbul kerana SAPP tidak pernah menyifatkan diri mereka, termasuk di Parlimen, sebagai pembangkang.
Katanya SAPP adalah parti bebas yang boleh menyokong mana-mana pihak dan sehubungan itu undi mungkin berpecah di kalangan calon bebas.
Ansari pula mengakui pilihan raya kecil di Batu Sapi kali ini adalah
sengit namun yakin mampu memberi saingan kepada BN berdasarkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-12.
Pengerusi DAP negeri Ir Hiew King Cheu juga mengakui pilihan raya kecil berkenaan adalah sengit.
BN hari ini mengumumkan pemilihan Timbalan Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah Bahagian Elopura Datin Linda Tsen Thau Lin, sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.
SAPP pula memilih presidennya Datuk Yong Teck Lee sebagai calon pilihan raya kecil berkenaan.
Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan pada Selasa ini dan pengundian pada 4 November.
1 ulasan:
susahlah mahu menang bro.. kenapalah tidak letakkan calon lain. macam dah tiada calon yang layak pula..hampa betullah...
Catat Ulasan