'WIN-WIN SITUATION' DALAM PERJUANGAN ISLAM / سيتواسي منڠ-منڠ دالم ڤرجواڠن اسلام
>> 24 Oktober 2010
TELUK INTAN, 23 Oktober - Para pejuang Islam tidak perlu mengenal erti kalah dalam perjuangan. Ini adalah kerana di dalam kekalahan itupun masih adalah lagi kemenangan hakiki iaitu redha Allah atau syahid. Demikian ucapan yang telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr. Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif di dalam Program Liqa Fikri PAS Kawasan Teluk Intan. Program telah diadakan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan.
Beliau telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Antara Reformasi dan Transformasi dan Masa Depan Politik Malaysia".
"Oleh kerana itu, apa yang tersirat di dalam perjuangan Islam ialah "'win-win situation' (situasi menang-menang) yang bermaksud menang dalam perjuangan dan jika kalahpun kita masih lagi menang," tambah beliau lagi.
Menyentuh tentang reformasi dan transformasi, beliau secara ringkasnya menyatakan bahawa reformasi merujuk kepada proses perubahan secara evolusi yang diadakan tahap demi tahap dan progresif sifatnya.
"Contoh paling mudah ialah bagi umat Islam, hari ini mesti lebih baik dari semalam dan esok pula mesti lebih baik dari hari ini,".
Transformasi pula ialah perubahan secara radikal dan ada unsur-unsur kepalsuan.
"Ia boleh dibandingkan seperti filem 'Transformers' di mana sebuah kereta boleh bertukar menjadi robot gergasi," ujar beliau.
Menurut beliau lagi, antara kedua-dua tadi (reformasi dan transformasi) reformasi adalah mudah diterima oleh manusia kerana ia sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Malah, di dalam Qur'an sendiri ada menyatakan bagaimana penciptaan langit dan bumi itu dibuat secara bertahap iaitu selama enam frasa.
Kebanyakan hadirin begitu tertarik dengan pembentangan beliau yang lebih banyak ke arah memberi bimbingan dan motivasi kepada ahli-ahli PAS.
Turut hadir ialah YDP PAS Kawasan Ustaz Ismail Che Nik, ADUN Changkat Jong YB Anuar Sudin serta pimpinan PAS kawasan dan cawangan-cawangan.
Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan membaca wirid al Ma'thurat kemudian pembentangan kertas kerja. Liqa Fikri kawasan adalah anjuran Lujnah Tarbiyyah PAS Kawasan Teluk Intan yang diadakan setiap bulan.
1 ulasan:
http://www.2shared.com/video/siqUXNl8/usrah8101.html
Catat Ulasan