SULTAN KELANTAN LUCUTKAN GELARAN 'DATUK' IBRAHIM PERKASA
>> 13 Oktober 2010
Istana Kelantan hari ini melucutkan gelaran 'Datuk' yang dianugerah kepada presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali.
Menurut kenyataan media yang difakskan ke Malaysiakini, Setiausaha Kerajaan negeri Kelantan, Datuk Seri Setia Raja Mohd Aiseri Alias berkata lima pingat yang dianugerahkan kepada Wan Hashim ditarik balik.
Turut ditarik balik pingat mereka hari ini adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafiei Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor. Menurut kenyataan itu, "adapun penarikan balik ini adalah hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara Baginda jua".
Sementara itu, dalam reaksi spontannya, Ibrahim ketika dihubungi oleh Malaysiakini mengesahkan beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini bahawa Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, (DJMK) yang membawa gelaran 'Datuk Paduka' yang dianugerahkan kepadanya telah dilucutkan.
Pingat itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.
“Saya tidak tahu sebab-sebabnya tetapi pada 7 Oktober lalu, saya ada menziarahi Sultan Ismail di Istana Mahkota. Sejak Sultan Ismail gering dan pulang ke Kelantan, inilah pertama kali saya melawat kerana hubungan peribadi saya amat rapat dengan Sultan Ismail.
Terus pertahan institusi raja
Apapun, ia tidak menjadi hal pada saya dan saya terima dengan hati terbuka,” katanya dalam pesanan ringkas SMS kepada Malaysiakini.
Menurut presiden PERKASA itu lagi, taat setianya kepada Sultan Kelantan sekarang, Tuanku Muhammad V tidak berbelah-bagi.
“Saya tetap dengan pendirian mempertahankan institusi raja kerana ia asas perlembagaan negara dan sebahagian daripada budaya Melayu menjunjung kedaulatan raja. Ampun Tuanku,” katanya.
Katanya, tindakan itu tidak akan mematahkan perjuangan beliau untuk mempertahankan institusi diraja dan juga hak Melayu.
"Saya tidak terkejut dengan perkara ini dan saya tidak mengetahui sebab dilucutkan gelaran itu," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan