JOM KE GALAS...
>> 06 Oktober 2010
KUALA LUMPUR, 6 Sept: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas Pakatan Rakyat dengan kepakaran yang berbagai supaya dapat turun ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan.
Ini, kata Presiden PAS itu, untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di Dun Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.
Katanya, berikutan kekosongan kerusi N.45 Galas, PAS telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November ini.
Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, tambahnya PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di Dun Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di Dun berkenaan.
“Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti.
“Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang percaya bahawa semua petugas akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas, serta sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun.
“Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti,” tegasnya.(harakahdaily)
0 ulasan:
Catat Ulasan