Edisi Khas Muktamar PAS : MARI BERSAMA KAMI SEMULA...
>> 10 Jun 2010
KOTA BHARU, 10 Jun -Ketua pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan menyeru kepada bekas Yang diPertua Yadim, Dato' Nakhaie Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ahmad Shabery Chik, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli-ahli Umno yang cintakan Islam dan pernah bersama dalam;perjuangan menyertai PAS.
Ujar Nasrudin mereka yang disebutkan itu pernah bersama-sama dengan PAS dan baginya adalah sangat baik jika semua mereka kembali ke pangkuan perjuangan dengan panggilan "Jom Sertai PAS".
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Ketua Pemuda PAS sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-51 di Kota Bharu Trade Centre, dekat sini 10 Jun lalu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani; saf kepimpinan Pemuda PAS, tetamu antaranya ustaz Yahya Othman; bekas Naib Ketua Pemuda, Mazlan Aliman dan perwakilan dari kawasan-kawasan seluruh negara.
Ujar Nasrudin berkata, seruan itu dibuat kerana melihat kerajaan Umno/BN yang disertai hari ini semakin zalim dan rakus dalam menerajui negara.
Beberapa keputusan dan dasar yang dilaksanakan menjuruskan negara ke arah kehancuran, sementara kemelut sosial yang runcing semakin parah, katanya.
Terbaru, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.
Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan perlantikan firma berkepentingan Israeln ini semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa, katanya.
Dewan Pemuda PAS menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian ini ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gazza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.
Selain itu, Pemuda PAS kesal dengan sikap bermuka-muka dan hipokrit yang dipamerkan oleh kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak berhubung dengan isu di Gazza.
Bagi Pemuda PAS kontrak kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worlwide ini perlu ditamatkan dengan serta-merta, jika tidak pihaknya akan menggerakkan rakyat ke jalan untuk membantahnya, kata beliau.
Selain itu Nasrudin juga menyatakan, kerajaan yang diterajui Najib, terus menerus terbabit dengan kes-kes rasuah berprofail tinggi yang mempunyai kaitan dengan beliau termasuk semasa menjawat jawatan Menteri Pertahanan yang mulai terdedah.
Malah kedudukan Malaysia dalam ranking Indeks Persepsi Rasuah 2009 yang lalu, semakin menjunam teruk ke tangga 56 daripada 180 negara yang dikaji, katanya.
Lebih parah lagi, kerajaan Umno/BN dengan angkuh sombongnya meluluskan lesen judi sukan dan kemudiannya dianugerahkan kepada tauke judi yang banyak berjasa kepada mereka, katanya.
Dewan Pemuda PAS memberikan komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama membenarkannya, katanya.
Beliau berkata,pihaknya melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan Menteri Agama (Jamil Khir), penasihat agama dan mufti–mufti hanya membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini.
Nasrudin berkata, pihanya akan menggerakkan massa untuk berhimpun pada 3 Julai ini bagi membantah kelulusan lesen judi dan mengharapkan rakyat turut serta dengan misi tersebut.
Melihat ‘Tsunami Politik’ yang berlaku dan kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan seperti yang disebutkan, beliau mengharapkan kesempatan yang terbaik dianugerahkan oleh Allah untuk seluruh rakyat semua melakukan perubahan ke arah kebaikan.
"Kepada semua golongan yang mencintai tertegaknya keadilan Rabbani, marilah kita berganding bahu untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut. Golongan yang mempelopori kezaliman di negara ini semakin goyah dan cuba berpaut kepada apa sahaja yang difikirkan dapat menjadi talian hayat mereka," katanya.
Justeru atas sebab yang disebutkan, beliau menyeru kepada seluruh golongan yang telah dan pernah menerima tarbiyah PAS seperti di segenap peringkat untuk berperanan membantu PAS ke arah mencapai cita-cita murni ini.
"Oleh kerana itu, seluruh rakyat yang sedar tentang situasi ini sepatutnya berganding bahu untuk menyelamatkan negara dari golongan yang zalim dan rakus," tegasnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan